Ringkasan AI
- Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan syarat pelesenan khas kepada penyedia permainan dalam talian, sebaliknya meneliti pendekatan kawal selia bersesuaian melalui MCMC.
- Kajian merangkumi aspek keselamatan kanak-kanak, interaksi pengguna, kandungan permainan, serta langkah perlindungan oleh penyedia perkhidmatan dan amalan antarabangsa.
- Kerajaan komited memastikan kawal selia berasaskan bukti, mengutamakan keselamatan kanak-kanak dan remaja, serta pembangunan industri permainan dalam talian secara bertanggungjawab.
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat memperkenalkan syarat pelesenan khas kepada penyedia perkhidmatan permainan dalam talian seperti dikenakan terhadap platform media sosial, sebaliknya sedang meneliti risiko serta pendekatan kawal selia bersesuaian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kajian yang dilaksanakan merangkumi aspek keselamatan kanak-kanak, interaksi antara pengguna, ciri dan kandungan permainan serta langkah perlindungan dilaksanakan oleh pemberi perkhidmatan.
Beliau berkata MCMC turut meneliti pendekatan dan amalan di peringkat antarabangsa bagi mengenal pasti langkah perlindungan yang bersesuaian dan berkesan.
“Hasil kajian tersebut akan menjadi asas dalam menentukan keperluan untuk memperkenalkan langkah perlindungan atau pendekatan kawal selia tambahan termasuk kemungkinan pelaksanaan had umur dan mekanisme pengesahan umur bagi penggunaan platform permainan dalam talian.
“Ia mengambil kira konteks Malaysia, perkembangan industri, risiko yang dikenal pasti, serta keberkesanan langkah perlindungan sedia ada,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai rancangan untuk memperluas had umur media sosial kepada platform permainan dalam talian khususnya platform mempunyai jumlah pengguna kanak-kanak dan remaja yang tinggi.
Pada masa sama, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau CMCF telah mengadakan rundingan awam bagi membangunkan subkod permainan atau gaming subcode, mulai 19 Sept hingga 24 Okt lepas.
Beliau berkata proses itu turut melibatkan pengendali gedung aplikasi, pembangun permainan tempatan dan antarabangsa, pakar keselamatan dalam talian, industri e-sukan, pengamal undang-undang serta penyelidik, dengan maklum balas diterima akan dipertimbangkan bagi menambah baik subkod berkenaan.
Katanya kerajaan komited untuk memastikan sebarang langkah kawal selia yang diperkenalkan adalah berasaskan bukti, berkadar dengan tahap risiko serta mengutamakan keselamatan kanak-kanak dan remaja di samping memastikan pembangunan industri permainan dalam talian secara bertanggungjawab.
Menjawab soalan tambahan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (Wawasan-Tasek Gelugor), Fahmi berkata kerajaan dalam usaha melaksanakan kerangka pelesenan menghendaki penyedia platform mempunyai pejabat di Malaysia, namun terdapat ruang untuk mengambil tindakan melalui pendekatan lain.
“Saya bagi contoh aplikasi X, apabila timbul masalah dengan aplikasi AI Grok, kita melakukan libat urus dengan pihak X dan Grok di Singapura.
“Akhirnya bukan hanya Malaysia, tapi banyak negara mengenakan tekanan dan Grok telah mengubah suai aplikasi tersebut tidak membolehkan aplikasi AI itu disalahgunakan untuk mengedit, menukar gambar-gambar menjadi gambar-gambar lucah,” katanya.
-- BERNAMA