Skip to main content

Malaysia

Malaysia jangan selesa dibuai keamanan, sedia ancaman luar jangka - PM Anwar

Anwar berkata, Dasar Keselamatan Negara perlu dikaji secara berterusan bagi memastikan negara mampu menyesuaikan diri dengan perubahan ancaman. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
Anwar berkata, Dasar Keselamatan Negara perlu dikaji secara berterusan bagi memastikan negara mampu menyesuaikan diri dengan perubahan ancaman. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh terlalu selesa dengan keamanan yang dinikmati ketika ini sehingga memandang ringan ancaman keselamatan di luar jangkaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Dasar Keselamatan Negara perlu dikaji secara berterusan bagi memastikan negara mampu menyesuaikan diri dengan perubahan ancaman.

"Ini masyarakat harus tahu kerana saya dengan sedikit pengetahuan tentang sejarah ini. Malang bagi negara kalau pimpinannya berasa terlalu selesa dan menganggap tidak mungkin berlaku apa-apa yang luar dari jangkaan.

Advertisement

"Jadi sementara kita mendoakan sebaiknya, kita mesti ada persiapan yang sebaiknya," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Keselamatan Negara 2026-2030, di sini, pada Khamis.

Tambah Anwar, landskap keselamatan kini semakin kompleks dan tidak lagi terhad kepada ancaman ketenteraan konvensional, sebaliknya turut melibatkan serangan siber yang menyasarkan sektor kewangan, pertahanan serta infrastruktur kritikal negara.

Advertisement

"Jadi saya lihat umpamanya di kementerian-kementerian yang berkenaan, perlu ditubuhkan unit-unit baharu kerana serangan siber ini sudah ribuan jumlahnya setiap hari, kadang puluh ribu. Jadi sukar untuk ditepis semuanya," katanya.

Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026-2030 merupakan kerangka strategik kerajaan bagi menetapkan hala tuju keselamatan negara untuk tempoh lima tahun, selaras dengan perkembangan ancaman geopolitik dan landskap keselamatan global yang semakin kompleks.

Pembangunan dasar berkenaan mengambil kira perubahan bentuk ancaman yang bukan lagi terhad kepada pencerobohan sempadan, malah merangkumi serangan siber, sabotaj infrastruktur kritikal, penyebaran maklumat palsu serta gangguan rantaian bekalan strategik.

Must Watch Video

Advertisement