RAWANG:Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menawarkan ganjaran RM5,000 kepada mana-mana pihak yang dapat menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya pihak yang membuang bahan tercemar di Sungai Selangor.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ganjaran itu diberikan selaras dengan komitmen kerajaan dalam Belanjawan 2021.

"Oleh yang demikian, KASA ingin menawarkan ganjaran sebanyak RM5,000.00 kepada mana-mana pihak yang dapat menyalurkan maklumat dan bukti sehingga tertangkapnya pihak yang melakukan pencemaran ini. Sebarang maklumat hendaklah disalurkan kepada [email protected] atau talian hotline JAS di 1-800-88-2727.

"Ganjaran yang diberikan ini adalah selaras dengan komitmen berterusan kerajaan di dalam Belanjawan 2021 yang akan menyediakan peruntukan khas kepada mana-mana yang dapat menyalurkan maklumat tentang sebarang salah laku dan pelanggaran undang-undang, termasuk isu pencemaran sungai," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Ujarnya, KASA amat memandang serius mengenai insiden yang kini memasuki kali ketujuh sehingga Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihentikan tugas.

BACA: 1,279 kawasan di Lembah Klang alami gangguan air bermula 6 petang ini

BACA: Bekalan air dijangka pulih esok jika nyah cemar dapat dibuat malam ini - Exco Alam Sekitar

BACA: Kerajaan negeri tidak tolak pencemaran bau Sungai Selangor akibat sabotaj

"Saya amat memandang serius mengenai perkara ini kerana tujuh (7) insiden henti tugas loji rawatan air di Selangor akibat pencemaran sungai pada tahun ini tidak sepatutnya berlaku.

"Selain daripada itu juga, cadangan YB Menteri Kewangan melalui peruntukan sebanyak RM40 juta dalam tempoh lima tahun bagi mengukuhkan aktiviti penguatkuasaan pemantauan kualiti alam sekitar, termasuk mewujudkan 30 stesen pemantauan di seluruh negara akan dapat mempertingkatkan operasi semua agensi di bawah KASA," katanya lagi.