Berang mendengar tangisan anak sendiri, seorang lelaki bertindak melepaskan geram dengan menampar dan menumbuk nenek kepada isterinya berkali-kali dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Hilir, Batang Melaka di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, tindakan lelaki itu menyebabkan warga emas berusia 69 tahun berkenaan mengalami kecederaan di dahi dan lebam kedua-dua belah mata.

Tindakan cucu durjana itu juga menyebabkan warga emas yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Jasin itu berkemungkinan hilang penglihatan kerana kedua-dua matanya tidak boleh dibuka akibat lebam.

“Ketika kejadian sekitar 6 pagi Isnin itu, cucu perempuan mangsa berada di dalam bilik air dan meninggalkan bayi perempuannya berusia lapan bulan.

“Selepas memaki mangsa dengan kata-kata kesat dengan mendakwa mangsa tidak pandai menjaga bayi, dan memukul warga emas itu sehingga rebah, suspek bersama isteri dan bayi mereka kemudian bertindak melarikan diri daripada rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut ujar Arshad, suspek dan isteri yang tidak mempunyai kerja tetap tinggal bersama mangsa sejak mereka berkahwin dan ditanggung warga emas itu yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah sekolah agama.

“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan awal di Hospital Jasin dan akan dirujuk ke pakar mata di Hospital Melaka kerana mata pengadu lebam dan tidak boleh dibuka serta kemungkinan boleh hilang penglihatan pengadu.

“Suspek berusia 24 tahun itu kemudian kita berjaya tahan di Bachang, Melaka sekitar jam 11 malam Isnin dan ujian air kencingnya juga didapati positif methamphetamine serta mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah,” tambahnya.

Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut seksyen 325 kanun keseksaan.