Pasangan dua beradik ditahan kerana disyaki menikam bapa tiri mereka semalam di sebuah rumah di Selesa Jaya, Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamed berkata kejadian yang berlaku jam 12.52 malam itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di belakang badan.

Beliau berkata mangsa, yang juga dipercayai dipukul dengan besi, kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

“Kami telah merampas pisau dan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata berbahaya.

“Kedua-dua suspek yang berusia 30 dan 32 tahun yang tinggal berhampiran dengan rumah mangsa kini ditahan reman sehingga Rabu,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Nusajaya.

Beliau berkata polis sedang menjalankan siasatan sama ada kedua-dua suspek berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian berlaku.