ASSOCIATED Press (AP) menyifatkan serangan terbaharu rejim Zionis Israel ke atas bangunan yang menempatkan media antarabangsa sebagai suatu tindakan yang kejam dan mengejutkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AP Gary Pruitt berkata, pihaknya bernasib baik 12 wartawan yang masih berada di dalam bangunan tersebut berjaya melarikan diri dengan selamat.

"Kami sangat terkejut dan bimbang dengan serangan Israel terhadap bangunan yang menempatkan biro AP di Gaza. Mereka memang tahu biro AP berada di sana dan mereka menyasarkannya.

"Mujur kami sudah menerima amaran dan berpindah lebih awal. Hampir-hampir banyak nyawa yang terkorban.

"Terdapat 12 wartawan di dalam bangunan tersebut dan mereka yang berani itu bukan sahaja berjaya melarikan diri tetapi juga sempat menyelamatkan alatan penting untuk menulis laporan berita ini.

"Untuk pengetahuan anda, bangunan ini memberikan sudut pandangan terbaik untuk dunia melihat kejadian yang berlaku di Gaza, dan sekarang bangunan ini telah musnah.

"Kami akan terus bekerja keras membawakan laporan penting mengenai Gaza dan kami akan pastikan wartawan kami selamat," katanya di New York pada Sabtu.

BACA: Pejabat biro AP dan Al Jazeera di Gaza musnah dalam serangan udara Israel

Gaza Diserang | CEO AP sifatkan serangan sebagai tindakan kejam


Serangan pada Sabtu itu dilancarkan sejam selepas pihak tentera mengarahkan mereka yang berada di dalam bangunan tersebut, yang turut menempatkan pejabat Al-Jazeera, meninggalkan premis.

Serangan turut merobohkan struktur bangunan 12 tingkat itu.

Untuk rekod, pejabat AP yang ditempatkan di bangunan tersebut selama 15 tahun adalah lokasi utama syarikat media itu membuat liputan menyeluruh kejadian yang berlaku di Gaza termasuk serangan pada 2009 dan 2014.

Israel masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung rasional mensasarkan bangunan berkenaan.