ISTANBUL: Kerajaan Turki dilaporkan terus dilobi beberapa negara kuasa besar bagi membatalkan misi Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla yang dijadual berlepas pada 24 April 2024 (Rabu).

Ia sekali gus memberi indikasi bahawa desakan kuat negara kuasa besar terlibat kepada kerajaan pimpinan Recep Tayyip Erdogan untuk  membatalkan keseluruhan misi penghantaran bantuan ke Gaza.

Menurut Jawatankuasa Pemandu Freedom Flotilla Coalition (FFC), Kamarul Zaman Shaharul Anwar, delegasi daripada beberapa negara kini berada di Ankara, Turki untuk mengadakan pertemuan dengan wakil tertinggi kerajaan negara ini.

“Di Istanbul ketika ini ada Perdana Menteri Jerman (Frank-Walter Steinmeier) dan dia dilaporkan akan bertemu Datuk Bandar Istanbul seterusnya berlepas ke Ankara petang ini bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden Turki.

“Begitu juga dengan unit counter-terrorism dari Amerika Syarikat juga berada di Turki.

“Jadi, spekulasinya adalah, mereka sedang memberi tekanan kepada kerajaan Turki dan kita tahu mereka kini berada dalam tekanan bagi membenarkan pelayaran ini diteruskan,” katanya.

Untuk itu, wakil tertinggi Insani Yardim Vakfi (IHH) yang merupakan penganjur bersama FFC akan mengadakan pertemuan dengan wakil tertinggi kerajaan Turki di Ankara petang ini.

FFC juga dilaporkan akan mengadakan satu mesyuarat pada Selasa bagi menilai situasi semasa dan implikasi daripada tekanan yang diterima kerajaan Turki ketika ini.

Ia antara lain bagi menilai adakah misi yang dirancang akan ditangguhkan atau dibatalkan disebabkan asakan kuat ketiga-tiga negara kuasa besar ini.

“Apa pun segala keputusan akan bergantung kepada perbincangan yang akan berlaku pada petang ini melibatkan pimpinan tertinggi IHH dengan wakil kerajaan Turki di Ankara,” ujarnya lagi.

Pada Jumaat, FFC mengumumkan telah menghantar wakil mereka bagi mengadakan pertemuan dengan wakil tertinggi kerajaan Turki di Ankara bagi memberi tekanan kepada kerajaan negara ini bagi memastikan kelancaran pelepasan kapal-kapal terlibat dalam misi ini.

Misi pelayaran yang dijadualkan belayar ke Laut Mediterranean pada 21 April (Ahad) lalu bagaimanapun ditangguhkan ke hari Rabu, 24 April 2024.

Ia antara lain menyebut masalah teknikal pada kapal yang terlibat menjadi antara punca mengapa berlaku penangguhan dalam misi tersebut.

The Times of India pada Isnin melaporkan Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier kini berada di Turki untuk lawatan kerja tiga hari bagi mengadakan pertemuan dengan ketua pembangkang dan Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu.

Steinmeier antara lain dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan Presiden, Recep Tayyip Erdogan di Ankara pada Rabu.