Seorang lelaki dipercayai gelandangan maut selepas dihentak menggunakan objek 'tokong kecil' oleh seorang lelaki mabuk di Jalan Genting Klang Setapak di ibu negara lewat malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mangsa maut ditempat kejadian selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala.

"Polis menerima laporan pada 11.45 malam dan sejurus tiba di lokasi berkenaan pihaknya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang sedang bertindak agresif di tengah-tengah jalan raya dalam keadaan berdarah tanpa berbaju dan masih berada di dalam keadaan disyaki mabuk.

"Pemeriksaan di tempat kejadian didapati ada kesan pergelutan dan kesan darah di atas permukaan jalan raya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Foto PDRM

Mengulas lanjut, Mazlan berkata identiti mangsa masih belum diketahui kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

"Berdasarkan maklumat orang awam, mangsa adalah gelandangan yang tinggal dan sering berada di kawasan berkenaan," jelas beliau.

"Suspek kini ditahan dan permohonan reman ke atasnya akan dibuat hari ini," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.