NATIONAL
Generasi muda peneraju transformasi media negara

Media Camp x McLive 9.0 berjaya menghimpunkan pelajar,
profesional media, dan pengunjung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 bagi menjana wacana segar tentang peranan media global dalam dunia digital yang pantas berubah.
KUALA LUMPUR: Generasi muda hari ini bukan sekadar pencipta kandungan, malah sebagai peneraju transformasi media negara.
Itu kata Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Sri Irmohizam Ibrahim yang turut menjelaskan penguasaan teori dan kemahiran praktikal dalam bidang media perlu diberi penekanan kepada golongan itu bagi membolehkan mereka bersaing dalam industri yang pantas berubah.
“Mereka perlu menguasai bukan sahaja teori, malah praktikal industri sebenar,” katanya ketika merasmikan Media Camp x McLive 9.0 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di WTCKL pada Rabu.
Program anjuran pelajar tahun akhir Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) itu, menggabungkan dua cabang utama – Newscamp 4.0 (kewartawanan) dan McLive 9.0 (penerbitan) – sebagai platform latihan praktikal yang menghubungkan dunia akademik dan industri.Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FKPM, Ahmad Faisal Mohamed Fiah berkata, program itu memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang realiti industri media dan peluang kerjaya masa depan.
Antara pengisian Newscamp 4.0 termasuk Kolokium Kewartawanan ke-51 bertemakan “Media Global: Penyelesai Masalah atau Amplifikasi Panik?” bersama Pengarang NST, Najmuddin Najib dan perunding media, Muzliza Mustafa.
Kolokium ini membuka ruang wacana kritikal mengenai peranan media dalam membentuk persepsi awam terhadap isu semasa.
McLive 9.0 pula membawakan pelbagai sesi seperti Entrepreneurship Talk, Bedah Buku, bengkel editorial dan Book Talk oleh penulis tempatan, selain demonstrasi teknologi Augmented Reality (AR) oleh pensyarah UiTM, Syamil Hizamie yang memperlihatkan revolusi teknologi dalam industri penerbitan dan kewartawanan.
Turut mencuri tumpuan ialah Business News Bootcamp: The Smart Citizen’s Guide to Business and Economics, yang membimbing peserta memahami selok-belok penulisan berita ekonomi bersama Pengarang Berita Business Times, Muhammed Ahmad Hamdan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami