SEKINCHAN: Kegiatan Geng Riccy yang aktif dalam kegiatan menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya dilumpuhkan dalam serbuan di pesisiran pantai Sekinchan di sini pada Selasa.

Op Pintas itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Pelabuhan Klang, Selangor.

Menurut sumber, operasi kira-kira jam 2 pagi itu berjaya menahan 17 individu termasuk dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun.

"Pemeriksaan mendapati dua suspek berperanan sebagai tekong manakala 15 adalah migran asing yang cuba diseludup masuk ke dalam negara.

"Kesemua mereka adalah warga Indonesia," katanya pada Khamis.

Tambah sumber, siasatan awal mendapati sindiket dari kumpulan Riccy ini aktif sejak tiga bulan lalu.

"Soal siasat tekong mengaku menerima bayaran RM800 dari ejen sindiket bagi setiap perjalanan membawa PATI melalui jalan tidak diwartakan dengan menaiki bot pom-pom," ujarnya.

Memetik kenyataan di Facebook rasmi JSJ, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Atipsom 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua migran direman selama 14 hari manakala dua tekong terbabit ditahan selama 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). - Sinar Harian