KUALA LUMPUR:Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata Gerakan Sinar Rasuah Busters yang dilancarkan baru-baru ini bertujuan membangkitkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia berhubung masalah rasuah.

Beliau berkata melalui kempen ini, rakyat diharap menjadi mata dan telinga serta mempunyai keberanian untuk melaporkan salah laku rasuah kepada pihak berwajib.

"Kalau kita tengok perkembangan isu rasuah selaras peredaran zaman, ia semakin teruk bagaikan penyakit berjangkit tidak kira sesiapa. Kita kena ada titik henti bagi perkara ini kerana rasuah merosakkan bangsa dan negara.

"Jadi, saya fikir kena ada kebangkitan bagi menimbulkan kesedaran iaitu dengan ubah sistem nilai yang ada pada rakyat," katanya ketika menjadi tetamu program Bual Bicara terbitan Bernama TV bertajuk 'Jihad Hapuskan Rasuah' malam tadi.

Husammuddin sebelum ini dilaporkan berkata pasukan khas dalam kempen itu ketika ini melibatkan kakitangan Sinar Harian dan akan dibuka kepada orang awam selepas ini.

Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Celemans Kasim yang turut menjadi tetamu program itu pula menegaskan agensi tersebut tidak akan berkompromi dengan mana-mana salah laku rasuah dan penyelewengan yang melibatkan rakyat Malaysia tanpa mengira status.

"Tidak kira ikan bilis atau jerung besar, sekiranya siasatan SPRM membuktikan seseorang itu bersalah, mereka akan dituduh di mahkamah mengikut proses undang-undang sedia ada," katanya.

-- BERNAMA