KUALA LUMPUR:Syarikat permulaan fintech tempatan, Global Sadaqah menyediakan platform kepada masyarakat Muslim secara global menyertai kempen-kempen sedekah.

Dalam satu kenyataan, Global Sadaqah memaklumkan syarikat tersebut berjaya meraih RM450,000 melalui penerbitan saham menerusi platform pembiayaan dana awam berekuiti patuh Syariah sepenuhnya yang dikawal selia baharu iaitu Ethis Malaysia.

Selepas dibuka selama 72 jam, kempen pembiayaan dana awam kilat ini berjaya melangkaui sasaran minimum RM200,000 dengan pantas, dengan menarik para pelabur daripada lebih sepuluh buah negara termasuk pelabur “angel” yang strategik.

Menurut Pengurus Global Sadaqah Malaysia, Ifran Tarmizi pelaburan yang yang diterima akan digunakan untuk mengembangkan perkhidmatan yang ditawarkan di Malaysia, meningkatkan pengaruh mereka di pasaran-pasaran utama, dan mengadaptasi teknologi-teknologi baharu.

Menurut Ifran, bidang fokus semasa mereka adalah untuk bekerjasama dengan lebih banyak korporat-korporat dan yayasan-yayasan yang menyediakan dana untuk program yang lestari dan berimpak, termasuk program Qard Hassan yang baru dilancarkan untuk perusahaan mikro di Malaysia.

Katanya, Global Sadaqah juga sedang mengembangkan kerjasama SocioBiz mereka yang berjaya bersama Alliance Islamic Bank.

“Adalah amat penting ketika masa begini untuk meningkatkan pengagihan dan impak berkesan terutamanya kelestarian zakat dan derma dari penderma-penderma besar dan badan-badan korporat.

"Kami berusaha untuk menyediakan pusat perkhidmatan setempat untuk syarikat dan perniagaan milikan Muslim untuk mengagihkan dana sosial mereka.” katanya.

Beliau berkata, walaupun mempunyai tumpuan khusus untuk pelanggan korporat, platform pembiayaan dana awam Global Sadaqah terbuka kepada umum.

Irfan juga menjelaskan selama dua tahun berturut Global Sadaqah berkembang dua kali ganda, dengan Malaysia dan Singapura menjadi dua buah negara penderma tertinggi.

"Platform ini memudahkan derma sumbangan dengan memberi akses kepada 11 saluran berbeza, termasuk penyedia-penyedia dompet maya di Malaysia, Bitcoin dan emas digital.

"Ia menampilkan pelbagai kempen dari Rakan Amal yang telah disaring dan disahkan. Kempen semasa yang terbuka termasuklah bantuan segera untuk bencana alam di Malaysia dan Indonesia serta usaha bantuan berkaitan dengan COVID-19," katanya lagi.

Antara pelabur “angel” termasuk Azmi Muslimin yang berpangkalan di Singapura, Khaled Fuad yang berpangkalan di Gulf Cooperation Council (GCC) dan Awaiz Patni, yang merupakan individu-individu yang mempunyai kerjaya dan pengaruh di dalam pengurusan syarikat-syarikat pelaburan yang berpengaruh.

Azmi Muslimin menjelaskan, Global Sadaqah sedang menangani cabaran-cabaran dalam bidang kewangan sosial Islam yang cukup luas.

"Saya teruja dengan peluang untuk mengembang,lebih-lebih lagi dengan penghasilan impak yang berkesan di ketika waktu yang sukar untukseluruh dunia,” katanya.

Manakala bagi Khaled Fuad, beliau terdorong untuk melabur dalam syarikat teknologi yang memberi fokus kepada impak berkesan seperti Global Sadaqah.

"Kami mempunyai cita-cita tinggi untuk membuat perbezaan bermakna dan mewujudkan kesan yang berkekalan untuk selamanya,” ujarnya.

Bagi Awaiz Patni, yang merupakan seorang Ketua Pegawai Kewangan sebuah kumpulan perniagaan di dalam GCC, dengan Global Sadaqah, ia tidak perlu diragui tentang kesahihan program mengumpul derma.

"Kita perlu menderma dengan penuh bertanggungjawab terutamanya ketika keperluannya amat tinggi pada masa kini.

"Global Sadaqah memenuhi kesemua permintaan tersebut - memanfaat dari segi teknologi untuk menurunkan kos dan meningkatkan jangkauan, bekerjasama dengan organisasi-organisasi ternama serta menawarkan sebuah platform kepada masyarakat Muslim secara global untuk menyertai kempen-kempen sedekah yang mendekati hati mereka,” katanya.