DUNGUN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di negeri berkenaan.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Beliau yakin gelombang biru dan merah akan mengubah 'pantai politik' di Terengganu pada PRN kali ini dengan didukung oleh pemimpin belia serta pengundi berumur 18 hingga 30 tahun dan 31 hingga 40 tahun.

"Gelombang biru dan merah kali ini akan menjadi manifestasi paling penting perubahan landskap politik di Terengganu," katanya dalam ucapan perasmian Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul (LesGU) sempena program Sentuhan Kasih Desa di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Pada program Sentuhan Kasih Desa, yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri itu.

Beliau juga berkata penganjuran himpunan LesGU hari ini oleh Majlis Belia Negeri Terengganu dan KETENGAH merupakan sesuatu yang sangat baik bagi memperlihat usaha Kerajaan MADANI dalam menumpukan perhatian serta membentuk golongan belia unggul.

Katanya statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa populasi belia negara berumur 15 hingga 30 tahun pada 2022 ialah 9.6 juta orang iaitu hampir 30 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang berjumlah 32.6 juta.

Ahmad Zahid berkata sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap kemajuan dan peningkatan kesejahteraan masyarakat desa secara menyeluruh serta berkesan, KKDW bersama agensi lain turut memberikan tumpuan khusus kepada golongan itu dengan mempergiat penghasilan produk ekonomi belia desa dan pinggir bandar melalui program keusahawanan.

"Warga belia perlu mendakap konsep pembelajaran sepanjang hayat dan bersedia untuk peningkatan kemahiran, pemahiran semula dan kemahiran silang ilmu pengetahuan serta kemahiran secara berterusan," katanya.

-- BERNAMA