KUALA LUMPUR: Jenama susu terkemuka, Susu Goodday menerusi program usahawan kanak-kanak terbesarnya, Goodday KidSTART melabuhkan tirai dengan jayanya apabila menerima sebanyak 340 penyertaan daripada kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 14 tahun dari seluruh negara.

Naib Presiden Pemasaran Etika, Amy Gan berkata, program itu adalah usaha berterusan syarikat memupuk budaya celik kewangan, menyemai semangat keusahawanan dan rasa tanggungjawab dalam kalangan kanak-kanak. 

“Goodday KidSTART bukan sahaja memperjuangkan tentang (ilmu) celik kewangan, malahan membina idea perniagaan.

“Anda juga boleh mempelajari kemahiran berfikir secara kritis, membina tahap keyakinan termasuk kemahiran pembentangan.

'Semua ini adalah kemahiran insaniah yang penting untuk masa depan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutupan Goodday KidSTART di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Amy berkata, penyertaan memberangsangkan dalam program berkenaan turut mendapat pengiktirafan daripada ‘Malaysian Book of Records’ sebagai program 'kid-preneur' terbesar kerana mencatat bilangan peserta program paling ramai. 

“Program ini telah diiktiraf dalam The Malaysia Book of Records kerana program ‘kid-preneur’ di Malaysia yang dari segi bilangan penyertaannya seramai 340 peserta dari seluruh Malaysia.

“Melangkah ke hadapan adalah untuk menyampaikan (idea) ini kepada Kementerian Pendidikan agar kami berupaya menjayakan kempen ini secara lebih besar dan lebih ramai lagi kanak-kanak mendapat manfaat daripada kempen ini,” katanya.

Penyampaian sijil Malaysia Book of Records kepada Naib Presiden Pemasaran Etika, Amy Gan.

Sementara itu, daripada 340 penyertaan, 20 peserta disenarai pendek bagi mengikuti kem latihan perniagaan intensif yang berlangsung selama dua hari.

Peserta yang berjaya disenarai pendek perlu membentangkan idea mereka kepada panel hakim yang terdiri daripada Pengerusi Portman Education Group, Ernie Chen; Pengasas Coffee for Good Faridah Halina Zairi; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Suri Inspirasi Sdn Bhd, Salena Ahmad dan Pengurus Jenama Kanan untuk Goodday Milk, Chin Yien Yien.

Selain itu, peserta juga perlu melalui beberapa siri modul, daripada mempelajari tabiat keusahawanan dan kewangan yang baik sehingga asas-asas dalam mengemukakan rancangan perniagaan kepada bakal pelabur.

Pada penghujung kem, lapan pemenang membawa pulang hadiah wang tunai daripada wang dana RM51,000 untuk memulakan idea perniagaan mereka.

Hadiah pertama RM20,000 telah dimenangi oleh Fatimah Basyeerah Mohamed Ackiel dengan idea perniagaan membangunkan aplikasi perisian pemulihan kemahiran kognitif strok.

Manakala, hadiah kedua bernilai RM10,000 menjadi milik Ong Joon Zach bagi idea perniagaan CocoCool, iaitu pemerah kelapa yang mampu memerah air kelapa segar dengan satu langkah.

Bagi hadiah ketiga bernilai RM5,000 diberikan kepada Fredston Wang Le Dong menerusi idea perniagaan STEMS, Science, Technology, Experiment Module Subscription. 

Hadiah keempat  dan kelima pula masing-masing membawa pulang wang berjumlah RM4,000 dan RM3,000.

Seterusnya, anugerah Penyampai Terbaik, Idea Paling Inovatif dan Bintang Muda Baharu masing-masing membawa pulang RM3,000. 

Para pemenang program Goodday KidSTART.

Untuk rekod, program Goodday KidSTART ‘kid-preneur’ fasa pertama berlangsung dari 21 November 2022 hingga 25 Januari 2023, melalui penghantaran idea menggunakan format video oleh peserta, dan akan dianjurkan buat kali kedua pada masa akan datang.