Skip to main content

Malaysia

GP Bahrain di Malaysia: Sepang kembali bergegar sempena F1

Formula 1 kembali ke Malaysia dengan penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang pada 2026. -Foto fail/Bernama
Formula 1 kembali ke Malaysia dengan penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang pada 2026. -Foto fail/Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Formula 1 kembali ke Malaysia dengan penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang pada 2026.
  • Perlumbaan ini dianjurkan susulan persetujuan antara Formula 1, FIA, kerajaan Malaysia dan Bahrain, selepas pembatalan GP Bahrain akibat ketegangan geopolitik.
  • SIC menyasarkan jualan 100,000 tiket, dengan perlumbaan dijangka mencabar berikutan cuaca tidak menentu dan kehadiran pelumba berpengalaman serta baharu.

SEPANG: Selepas hampir sedekad, Formula 1 (F1) kembali ke Malaysia hujung minggu ini, namun dengan penganjuran yang berbeza daripada kebiasaannya.

Berbanding dengan Grand Prix (GP) Malaysia sebelum ini, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026, sekali gus menjadikan litar ikonik itu sebagai lokasi sementara bagi perlumbaan berprestij Bahrain itu.

Perkembangan itu selepas Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Gulf Air Bahrain, susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain pada Julai lepas.

Perjanjian berkenaan memastikan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan itu dibatalkan pada awal musim ini berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Memandangkan SIC terkenal dengan perlumbaan yang sukar dijangka, cuaca tidak menentu dan detik penting dalam perebutan kejuaraan, penganjuran kali ini pastinya cukup menarik.

Sejak GP Malaysia digugurkan daripada kalendar F1 selepas musim 2017, sukan itu berkembang pesat terutama selepas siri Netflix Drive to Survive diperkenalkan pada 2019 yang menarik lebih ramai peminat di seluruh dunia.

Siri itu memperkenalkan F1 kepada generasi baharu menerusi kisah di sebalik tabir pelumba, pasukan dan persaingan, sekali gus menarik minat lebih ramai penonton di luar kalangan peminat sukan permotoran tradisional.

Keterujaan terhadap F1 diterjemahkan apabila kira-kira 95,000 tiket terjual dengan SIC menyasarkan jumlah jualan mencecah 100,000 tiket.

Tiket bagi Formula 1 Gulf Air Bahrain GP di Malaysia 2026 hanya dijual dalam bentuk pas tiga hari dan tiada tiket untuk sehari ditawarkan.

Sekiranya jualan mencapai 100,000 tiket, ia akan menjadi jumlah kehadiran yang signifikan bagi SIC. Rekod kehadiran tertinggi litar itu bagi acara F1 dicatatkan pada GP Malaysia 2008, dengan 126,690 penonton hadir sepanjang tiga hari perlumbaan.

Sementara itu, SIC sendiri dijangka menjadi antara faktor yang mempengaruhi perjalanan perlumbaan.

Litar Sepang mempunyai laluan lurus panjang dan bahagian pertengahan yang pantas dan berliku bakal menguji keupayaan jentera serta pelumba, ditambah dengan cabaran kemerosotan prestasi tayar dan ancaman hujan tropika.

Litar sepanjang  5.543 kilometer itu pernah menjadi lokasi antara perlumbaan basah paling diingati dalam sejarah F1 pada 2009, apabila hujan monsun lebat memaksa pegawai perlumbaan menghentikan GP Malaysia selepas 31 pusingan.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan pada perlumbaan Ahad ini, sekali gus berpotensi menjadikan saingan di Sepang lebih sengit dan mendebarkan.

Keadaan jerebu ketika ini turut menambah cabaran kepada pelumba dan pasukan sepanjang perlumbaan.

Menariknya, hanya 10 pelumba dalam barisan semasa pernah beraksi di litar berkenaan sekali gus memberi kelebihan dari segi pengalaman kepada bekas juara GP Malaysia seperti Fernando Alonso daripada Aston Martin, Lewis Hamilton (Ferrari) dan Max Verstappen (Red Bull Racing) yang lebih mengenali litar mencabar berkenaan.

Alonso menyerlah dengan tiga kemenangan di litar berkenaan, masing-masing bersama Renault pada 2005, McLaren (2007) dan Ferrari (2012).

Hamilton turut meraih kemenangan di sini pada 2014 ketika mewakili Mercedes, sebelum Verstappen muncul juara dalam GP Malaysia terakhir pada 2017.

Antara pelumba generasi baharu yang bakal membuat penampilan sulung di SIC ialah pendahulu kejuaraan pelumba ketika ini, Kimi Antonelli daripada Mercedes, dengan 302 mata.

Pelumba Itali berusia 20 tahun itu pastinya mahu kembali menaiki podium di SIC selepas melalui hujung minggu yang sukar pada GP Azerbaijan, apabila kemalangan ketika sesi kelayakan menyaksikan beliau sekadar mampu menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

Rakan sepasukannya George Russell pula tiba di Sepang dengan motivasi tinggi selepas meraih kemenangan ketiganya musim ini pada GP Azerbaijan, sekali gus mengecilkan jurang dengan Antonelli kepada 66 mata.

Bagaimanapun, Verstappen tidak boleh diketepikan, apabila bekas pelumba Minardi dan ikon F1 Malaysia Alex Yoong menyifatkan juara dunia empat kali itu sebagai calon yang mampu mencipta kejutan untuk meraih kemenangan di Sepang.

Juara dunia bertahan Lando Norris pula mahu bangkit selepas gagal menamatkan perlumbaan pada GP Azerbaijan hujung minggu lepas, selain bakal membuat penampilan kompetitif pertamanya di Sepang.

Di sebalik aksi sengit di litar, Ketua Eksekutif Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) Sheikh Salman Isa Al Khalifa berkata peminat turut berpeluang mengenali budaya, tradisi dan sajian negara Teluk itu menerusi pengalaman GP Bahrian yang dibawakan ke Malaysia.

Selepas sembilan tahun, penantian akhirnya berakhir.

Enjin sudah bersedia, peminat mula hadir dan Sepang bersedia kembali bergema.

-- BERNAMA

 

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI

  • Q: Mengapa Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix diadakan di Malaysia pada 2026? 
    A: Perlumbaan diadakan di Malaysia selepas persetujuan antara Formula 1, FIA, serta kerajaan Malaysia dan Bahrain, susulan pembatalan GP Bahrain awal musim ini akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat.
  • Q: Apakah keunikan penganjuran Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang kali ini? 
    A: Litar Sepang menjadi tuan rumah sementara GP Bahrain, dengan perlumbaan dijangka mencabar kerana cuaca tidak menentu, jerebu, serta rekod sejarah perlumbaan basah yang dramatik.
  • Q: Berapakah jumlah tiket yang disasarkan untuk dijual bagi perlumbaan ini? 
    A: SIC menyasarkan jualan mencecah 100,000 tiket, dengan 95,000 tiket telah terjual setakat ini.
  • Q: Siapakah pelumba yang mempunyai kelebihan pengalaman di Litar Sepang? 
    A: Fernando Alonso, Lewis Hamilton, dan Max Verstappen mempunyai kelebihan kerana pernah memenangi perlumbaan di Sepang, berbanding pelumba generasi baharu yang bakal membuat penampilan sulung.
  • Q: Apakah cabaran utama yang dijangka dihadapi pelumba dan pasukan semasa perlumbaan di Sepang? 
    A: Cabaran utama termasuk cuaca tidak menentu, ancaman hujan tropika, jerebu, kemerosotan prestasi tayar, serta laluan litar yang pantas dan berliku.

Product Recommendation Section Title

Jordan Club Hat

Jordan Club Hat

adidas Football DFB GERMANY METAL BOTTLE Unisex White KF4127

adidas Football DFB GERMANY METAL BOTTLE Unisex White KF4127

TYESO Insulated Tumbler 900ml/1200ml

TYESO Insulated Tumbler 900ml/1200ml

900ml 304 Stainless Steel Handheld Thermos Insulated Vacuum Tumbler Mugater Bottle with Straw Handle cawan termos

900ml 304 Stainless Steel Handheld Thermos Insulated Vacuum Tumbler Mugater Bottle with Straw Handle cawan termos

HER Small 13L Backpack in Lux Army by PUMA, One Size

HER Small 13L Backpack in Lux Army by PUMA, One Size

SOME BY MI Daily Mask 30pcs

SOME BY MI Daily Mask 30pcs

Must Watch Video

Advertisement