NILAI: Sebanyak 81.2 peratus daripada 9,507 graduan kolej vokasional telah mendapat pekerjaan yang merupakan pencapaian membanggakan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata keyakinan serta kemahiran yang spesifik menjadikan graduan kolej vokasional berdaya saing dan mampu mengisi perjawatan di sektor swasta serta bergerak sebagai tenaga mahir peneraju industri.

"Pada 2021 kebolehpasaran bagi graduan ini ialah 99.16 peratus yang telah mendapat pekerjaan sebelum konvokesyen.

"Saya berbangga dengan semua graduan hari ini dan khususnya (pendekatan diambil) oleh kementerian yang signifikan dalam pastikan kebolehpasaran hampir dijamin," katanya kepada pemberita selepas selesai menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional KPM Kali Ketujuh Tahun 2022 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Majlis itu meraikan 9,507 graduan diploma dari 81 Kolej Vokasional di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 33 pelajar dianugerahkan Graduan Terbaik Program dan satu Anugerah Emas Menteri Pendidikan (AEMP) kepada pelajar terbaik keseluruhan.

Sementara itu, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) baharu mengenai persiapan pembukaan sekolah yang bermula minggu depan iaitu pada minggu awal persekolahan yang para guru perlu memberikan tumpuan pada program suai kenal kepada pelajar.

"KPM meminta guru-guru beri tumpuan pada program suai kenal, tidak terus kepada sesi akademik, pelajar akan merasa lebih selesa di sekolah selain interaksi ibu bapa dan guru dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.

Bagi penempatan guru untuk sesi persekolahan pula, KPM telah melaksanakan pelbagai langkah untuk memastikan penempatan guru menjelang pembukaan sekolah ini dapat disegerakan.

"KPM sedang bekerja dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan bagi memastikan perkara ini dapat disegerakan," katanya.

-- BERNAMA