MALAYSIA
GSF: Orang awam berhak terima bantuan kemanusiaan - Majlis Peguam

Majlis Peguam turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan, sambil mendesak pembebasan segera tahanan dengan pematuhan penuh terhadap undang-undang antarabangsa. - Gambar GSF
KUALA LUMPUR: Bantuan kemanusiaan kepada orang awam merupakan hak yang diiktiraf di bawah undang-undang antarabangsa, dan setiap negara berkewajipan memudahkan penghantaran bekalan bantuan dengan segera tanpa halangan kepada mereka yang memerlukan, tertakluk kepada pengawasan yang adil dan munasabah.
Sambil mengecam tindakan tentera Israel memintas Global Sumud Flotilla (GSF) serta menahan orang awam di perairan antarabangsa berhampiran Gaza, Presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, laporan mengenai penggunaan kekerasan terhadap kapal kemanusiaan menimbulkan kebimbangan serius berhubung pelanggaran obligasi antarabangsa.
"Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, sebanyak 40 kapal telah dipintas dan 23 rakyat Malaysia antara orang awam yang ditahan secara tidak sah oleh tentera Israel.
"Tindakan sedemikian merupakan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa yang digariskan dalam instrumen termasuk Artikel 17 dan 87 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut, Konvensyen Geneva Keempat 1949 serta Resolusi 2728 Majlis Keselamatan PBB," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Mohamad Ezri berkata, kenyataan berkenaan adalah sebahagian daripada rekod profesional bersama bagi memperkukuh usaha antarabangsa dalam memastikan akses kemanusiaan, melindungi keselamatan orang awam serta menuntut keadilan.
Majlis Peguam turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan, sambil mendesak pembebasan segera tahanan dengan pematuhan penuh terhadap undang-undang antarabangsa.
"Walaupun Majlis Peguam mengambil maklum pengumuman Kementerian Luar Israel bahawa semua tahanan berada dalam keadaan sihat dan akan dihantar pulang ke Eropah, kami menegaskan Israel mesti memastikan pematuhan penuh terhadap undang-undang antarabangsa melalui pembebasan segera tahanan tersebut. Israel juga perlu mematuhi sepenuhnya langkah sementara yang diperintahkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam kes Afrika Selatan lwn Israel.
"Israel mesti mematuhi syor yang digariskan dalam Bahagian VIII Analisis Undang-Undang terhadap tindakan Israel di Gaza berdasarkan Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid oleh Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB mengenai Wilayah Palestin, termasuk Baitulmaqdis Timur dan Israel," katanya.
Mohamad Ezri turut menyeru persatuan peguam di seluruh dunia untuk menggesa kerajaan masing-masing menegakkan kedaulatan undang-undang antarabangsa, selain berharap kerajaan Malaysia menggunakan segala ruang yang ada bagi menyokong prosiding kes Afrika Selatan lawan Israel.
"Majlis Peguam menegaskan sokongan kepada mereka yang ditahan, yang dihalang daripada melaksanakan misi kemanusiaan, serta orang awam yang terkorban dalam krisis ini. Semua pihak mesti diingatkan bahawa perlindungan orang awam adalah satu kewajipan erga omnes - tanggungjawab semua," katanya.
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia, belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.
Flotila berkenaan membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami