Menteri Kewangan, Lim Guang Eng menzahirkan rasa sedih dengan berita tentang pemergian anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim pada Isnin malam.

Menerusi akaun Twitternya, Guang Eng berkata beliau berharap agar keluarga Allahyarham berada dalam keadaan tabah dan menyifatkan perjuangan Muhammad Adib sebagai berani.


Muhammad Adib, 24 tahun, yang parah dipukul susulan insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu, meninggal dunia pada pukul 9.41 malam tadi.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin di Institut Jantung Negara (IJN).


Muhammad Adib dipindahkan ke IJN selepas mengalami kecederaan parah akibat diserang susulan insiden rusuhan di kuil di USJ 25 itu pada 27 Nov lalu.

Difahamkan, jenazah Muhammad Adib akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah malam ini untuk dikebumikan.

Pada Ahad, IJN melalui satu kenyataan memaklumkan kesihatan Muhammad Adib kembali merosot apabila paru-parunya gagal berfungsi.