MALAYSIA
Guru cuba bunuh isteri sebelum cederakan diri sendiri

Pasukan forensik ketika menjalankan siasatan di lokasi kejadian seorang guru cuba membunuh isterinya di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas pada pagi Rabu.
BAYAN LEPAS: Seorang wanita cedera dikelar suaminya selepas berlaku pertelingkahan di antara mereka dalam kejadian di Taman Tunas, Sungai Ara, di sini, pagi Rabu.
Ringkasan AI
- Seorang guru wanita cedera selepas ditikam dan dikelar oleh suaminya sendiri dalam pertelingkahan di rumah mereka di Taman Tunas, Sungai Ara.
- Ibu mangsa berjaya menyelamatkan anaknya sebelum suspek cuba mencederakan diri sendiri; kedua-duanya kini dirawat di Hospital Pulau Pinang, dengan suspek dilaporkan kritikal.
- Pasangan yang sudah enam tahun berkahwin dan mempunyai seorang anak itu disifatkan hidup harmoni sebelum kejadian; kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sazalee berkata, kejadian disedari ibu mangsa selepas terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas sebelum mendapati menantunya sedang menindih mangsa sambil cuba mengelar leher isterinya itu.
Beliau berkata, ibu mangsa sempat menarik anaknya dari katil untuk dibawa keluar, sebelum melihat suspek bertindak mengelar tangan serta lehernya sendiri menggunakan pisau dapur.
Kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang dengan ambulans untuk rawatan lanjut.
Suspek yang cedera dilaporkan kritikal dan dirawat di zon merah akibat kecederaan di bahagian leher dan pergelangan tangan.
Sazalee berkata, siasatan mendapati pasangan guru itu sudah enam tahun berkahwin serta mempunyai seorang anak, selain pernah melanjutkan pengajian Bahasa Mandarin sebagai bahasa kedua di sebuah universiti di Beijing, China.
“Maklumat daripada saksi mendapati pasangan ini hidup dalam keadaan harmoni tanpa sebarang masalah kewangan, kemurungan, atau perselisihan rumah tangga.
“Malah, komunikasi mereka malam tadi juga baik dan tiada perkara mencurigakan dikesan.
“Pasangan berkenaan tinggal bersama keluarga pihak isteri dan polis masih menyiasat punca kejadian,” katanya kepada media di lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami