Seorang guru wanita disyaki mengalami kerugian RM10,760 selepas tertipu kononnya dia memenangi hadiah bagi cabutan bertuah permata Cartier.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Shahron Anuar Abdul Latif berkata mangsa yang berusia 35 tahun itu membayar wang tersebut sebagai wang jaminan dan bayaran keahlian syarikat berkenaan.

Beliau berkata mangsa diminta mendeposit RM5,760 ke dalam satu akaun dan RM5,000 lagi dalam satu lagi akaun bulan lalu.

"Namun mangsa tidak pernah menyertai peraduan dengan syarikat Miilai Hong Kong berkenaan atau membeli apa-apa produk daripada mereka.

"Semakan juga mendapati laman web www.millai.com adalah sama dengan laman web www.meimeimall.com yang turut menawarkan hadiah cabutan bertuah," katanya.

Shahron Anuar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut agar menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah di talian 05-3664322 atau Insp Mohd Suhadi di talian 05-3629222 sambungan 9083 atau talian 012-5217752.