KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyoal pasukan pembelaan mengapa sumbangan derma bernilai berjuta ringgit dikatakan daripada Yayasan Al-Bukhari (YALB) kepada Yayasan Akalbudi (YAB) tidak dalam bentuk cek tetapi dalam wang tunai.

Persoalan itu ditujukan kepada ketua pihak pembelaan, Hisyam Teh Poh Teik apabila beliau berhujah mengapa pertuduhan ke-27 pengubahan wang haram ke atas Ahmad Zahid perlu digugurkan.

Sequerah: Semua wang tunai yang disumbangkan Yayasan Al-Bukhari kepada Yayasan Akalbudi akan lebih mudah jika hanya menulis sekeping cek. Mengapa perlu membawa tunai yang penuh dalam sebuah beg?

Hisyam: Itulah aduan kami Yang Arif. Pihak pendakwaan tidak menyiasatnya. Ia hanya boleh dijawab oleh Yayasan Al-Bukhari.

"Kami bertanya kepada pegawai penyiasat, pegawai penyiasat berkenaan tidak pernah menyiasat. Oleh kerana tiada siasatan, kita tidak boleh kata ia adalah hasil daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang. Hanya dan sehingga mereka menyiasat, hanya dan sehingga mereka memanggil seorang saksi daripada Yayasan Al-Bukhari di hadapan Yang Arif dan memberikan bukti.

"Tiada siasatan kerana tiada siasatan tidak boleh dikatakan ini adalah hasil daripada kegiatan haram, pertuduhan gugur. Kesimpulannya, kami mencabar dan mengajak pihak pendakwaan menunjukkan kepada kami bukti Yayasan Al-Bukhari tidak pernah memberi sumbangan," katanya.

Pada 27 Julai tahun lepas, seorang saksi, Omar Ali Abdullah pengurup wang yang didakwa mengubah wang bagi pihak Ahmad Zahid memberitahu mahkamah bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu meminta beliau membantu mendepositkan sumbangan kebajikan ke dalam akaun badan kebajikan Yayasan Akalbudi.

Saksi ke-81 pendakwaan itu berkata, beberapa lelaki daripada YALB akan menghubunginya dan bertemu di beberapa lokasi.

Beliau berkata, apabila menerima panggilan pertama daripada individu yang tidak dikenali dan meminta untuk berjumpa beliau di Plaza Fahrenheit, di sini, lelaki itu kemudiannya memberikan beliau sebuah bagasi berisi wang tunai.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pihak pembelaan akan menyambung penghujahan esok. - BERNAMA