PUTRAJAYA: Hampir 40,000 individu telah diberikan pelepasan daripada senarai bankrap menerusi Dasar Peluang Kedua setakat Februari lepas, menurut Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) M. Bakri Abd Majid.

Beliau berkata berdasarkan sesi pertemuan MdI dengan pemohon inisiatif itu, mereka menyatakan rasa gembira dengan wujudnya dasar tersebut kerana dapat menjalani kehidupan baharu dan kembali menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

"Sijil pelepasan bankrap kita beri di rumah masing-masing dan mereka telah ceritakan apa perancangan selepas dilepaskan daripada bankrap, ada yang berhasrat kembali berniaga dan membantu keluarga," katanya kepada Bernama di sini.

Dasar Peluang Kedua adalah inisiatif Kerajaan Perpaduan membela nasib rakyat dengan jumlah hutang berskala kecil untuk dilepaskan daripada kebankrapan melalui syarat-syarat tertentu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 tahun lalu berkata dasar berkenaan akan diperluas kepada golongan muda berusia 40 tahun dan ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000 bermula tahun ini.

M. Bakri berkata dasar itu menyasarkan pelepasan sehingga 130,000 orang yang diisytiharkan bankrap menjelang akhir tahun ini, iaitu 50 peratus daripada 260,000 kes MdI ketika ini.

Katanya MdI juga kini giat menjalankan program Jelajah Jabatan Insolvensi 2024 di seluruh negara khususnya di kawasan pedalaman bagi memberi maklumat tentang Dasar Peluang Kedua.

Beliau turut menasihatkan individu bankrap supaya hadir ke MdI untuk mendapatkan maklumat jelas mengenai dasar berkenaan.

"Sekarang, kita juga berikan kebenaran setiap orang bankrap boleh membuka satu akaun bank kerana sekarang semuanya dalam bentuk tanpa tunai," katanya.

Mengenai jumlah kes kebankrapan, M. Bakri berkata ia merekodkan trend penurunan iaitu 233,483 pada tahun lepas berbanding 269,654 pada 2022.

Beliau berkata faktor utama individu diisytihar muflis adalah disebabkan pinjaman peribadi dengan 13,112 kes direkodkan dalam tempoh 2022 hingga Februari lepas.

"Saya berpandangan mungkin kesedaran kewangan rakyat Malaysia tidak tinggi, jadi cara paling mudah mereka selesaikan masalah kewangan adalah dapatkan pinjaman peribadi untuk dapat duit segera, jangan gali lubang, tutup lubang," katanya.

Menurutnya ilmu dan pendidikan mengurus perbelanjaan dan kewangan secara berhemah amat penting bagi mengelak masyarakat daripada masalah kebankrapan.

-- BERNAMA