Skip to main content

Malaysia

Hampir 96 peratus murid SK Melayu, kejatuhan sains tulen membimbangkan - Anuar

onvensyen Pendidikan Melayu 2026 -- FB Zambry Abd. Kadir
Anuar Ahmad mendedahkan, data terkini menunjukkan murid bukan bumiputera di SK kini kurang lima peratus, sekali gus meletakkan masa depan modal insan bangsa bergantung sepenuhnya kepada prestasi sekolah harian biasa.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kemerosotan kualiti pembelajaran dan penguasaan kemahiran asas di Sekolah Kebangsaan (SK) perlu dilihat sebagai krisis nasional ,memandangkan hampir 96 peratus enrolmen institusi berkenaan,kini terdiri daripada anak-anak Melayu dan bumiputera.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Anuar Ahmad mendedahkan, data terkini menunjukkan murid bukan bumiputera di SK kini kurang lima peratus, sekali gus meletakkan masa depan modal insan bangsa bergantung sepenuhnya kepada prestasi sekolah harian biasa. 

Beliau menegaskan, kualiti pembelajaran di bilik darjah semakin terjejas berpunca daripada beban tugas pentadbiran bukan hakiki yang menghimpit guru, selain masalah saiz kelas yang terlalu padat sehingga mencecah 50 murid bagi satu kelas di kawasan bandar pesat.

"Guru-guru kita hari ini berada dalam keadaan sangat terhimpit. Laporan Bank Dunia 2023 menunjukkan guru di Malaysia paling sibuk berada di sekolah berbanding negara lain, namun masa mengajar sebenar dalam kelas adalah rendah kerana sarat dengan urusan pentadbiran dan aktiviti luar bilik darjah.

"Kesan daripada isu sistemik ini amat nyata di lapangan. Dalam sesi kajian baru-baru ini, seorang guru di kawasan Felda pedalaman Johor berkongsi bahawa daripada lebih 100 calon SPM tahun ini, seramai 25 orang masih tidak boleh membaca dan mengira dengan baik.

"Mereka ada akses ke sekolah setiap hari, tetapi kualiti serta kemahiran asas itu tiada langsung," katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Pendidikan Melayu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa. 

Mengulas lanjut, Anuar memberi amaran berhubung kejatuhan mendadak bilangan pelajar yang mengambil aliran sains tulen di sekolah menengah, yang kini berada pada tahap kritikal.

Jelasnya, kemasukan pelajar ke aliran sains telah menjunam daripada 30 peratus pada 2010 kepada hanya sekitar 15 peratus ketika ini, sekali gus mengancam pengisian kursus STEM di peringkat universiti awam.

"Penurunan ini saya jangkakan akan berterusan. Dalam tempoh lima tahun dari sekarang, bilangan murid yang mengambil sains tulen dijangka merosot ke bawah 10 peratus jika tiada intervensi drastik diambil.

"Kita melihat subjek Biologi, Fizik, dan Matematik Tambahan terus ditinggalkan tahun demi tahun. Keputusan PISA 2022 membuktikan Malaysia mencatat kemerosotan sains dan matematik paling teruk di rantau ini, jauh di belakang sasaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) untuk berada dalam kelompok sepertiga teratas dunia," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan melihat semula faktor asas keciciran pendidikan seawal peringkat awal usia, termasuk menangani masalah bantut (stunting) dan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak bumiputera seperti yang pernah digariskan menerusi Laporan Keciciran Murad 1973.

Must Watch Video

Advertisement