MALAYSIA
Hampir RM200 juta untuk pembangunan infrastruktur, baik pulih di Sabah - Nga

Nga (dua, kiri) melawat kawasan perumahan Program Rumah Rakyat (PRR) Putera Kiansom semasa majlis perasmian dan penyerahan kunci Taman PRR Putera Kiansom, di sini, hari ini. - Foto Bernama
INANAM: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan keseluruhan sebanyak RM195.35 juta untuk pelaksanaan 48 projek pembangunan infrastruktur serta kerja baik pulih di seluruh Sabah melalui Program Pembangunan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Rolling Plan 5 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) tahun ini.
Ringkasan AI
- RM195.35 juta diluluskan untuk 48 projek infrastruktur di Sabah Peruntukan ini merangkumi pembinaan dan naik taraf kemudahan awam seperti tapak letak kereta, dewan serbaguna, pasar awam, cerun serta projek perumahan rakyat di pelbagai daerah.
- Projek perumahan ini yang bermula sejak 2003 kini telah siap empat daripada 10 blok, dengan baki dijangka siap menjelang hujung Ogos. Ia melibatkan 1,000 unit rumah pangsa lima tingkat di atas tanah seluas enam hektar.
- RM13.74 juta diperuntukkan untuk pembangunan taman termasuk Taman Botani Kota Kinabalu, manakala RM7.77 juta digunakan untuk pembinaan dan naik taraf balai bomba di enam lokasi utama.
"Sebanyak RM39.78 juta telah diperuntukkan di Bawah Bahagian Perancangan Perumahan KPKT untuk pembangunan 10 Program Residensi Rakyat dan Program Perumahan Rakyat antaranya di Kiansom, Pitas, Lahad Datu, Kota Belud, Beaufort, Kibabaig, Sandakan, Lahad Datu, Kuala Penyu dan Tuaran.
"Peruntukan RM24.48 juta pula bagi pembangunan Rumah Mesra Rakyat di bawah seliaan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan dan menyerahkan kunci Program Residensi Rakyat (PRR) Putera Kiansom Inanam di sini hari ini.
Nga berkata selain itu, RM13.74 juta diperuntukkan di bawah Jabatan Landskap Negara (JLN) untuk tujuan pelaksanaan kerja-kerja naik taraf dan pembangunan taman-taman awam di seluruh Sabah, pembangunan Taman Botani Kota Kinabalu serta pelaksanaan Kajian Pelan Induk Majlis Daerah Keningau.
"Sejumlah RM7.77 juta juga telah diperuntukkan di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah bagi pembinaan dan naik taraf balai-balai di seluruh Sabah, antaranya di Putatan, Lahad Datu, Beaufort, Merotai, Kota Belud dan Semporna," katanya.
Mengulas mengenai PRR Putera Kiansom Inanam, beliau berkata di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI, KPKT akhirnya berjaya merealisasikan projek berkenaan setelah hampir 22 tahun dimulakan.
"Pada 5 Mei 2025, PRR ini telah mendapat Sijil Kelayakan Menduduki Bangunan (OC) bagi empat blok, iaitu Blok A, B, C dan D. Projek Taman PRR Putera Kiansom telah dimulakan sejak 2003 lagi di bawah Rolling Plan 3, RMK8.
"Namun, projek ini tidak dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan akibat masalah kontraktor yang tidak kompeten. Banyak cabaran dan halangan yang telah dihadapi dalam tempoh lebih 22 tahun pelaksanaan projek ini," katanya.
Beliau berkata walaupun penyerahan hari ini hanya melibatkan empat blok, beliau yakin baki enam blok akan siap menjelang hujung Ogos ini dan bakal dihuni sepenuhnya sebelum hujung tahun ini.
Taman PRR Putera Kiansom merupakan rumah pangsa lima tingkat di atas tanah berkeluasan enam hektar, dengan 1,000 unit kediaman berkeluasan 750 kaki persegi yang membabitkan kos pembangunan sebanyak RM152.9 juta.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami