Ringkasan AI
- Pembantu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berkaitan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
- Tiga pegawai SPRM hadir ke pejabat Jabatan Wilayah Persekutuan dan meminta pembantu menteri hadir ke SPRM untuk siasatan lanjut.
- Pada 14 November, kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun dengan premium nominal RM1,000, berbanding anggaran sebelumnya RM4.67 juta.
PUTRAJAYA: Seorang pembantu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berhubung Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
“KLSCAH: Ya, saya boleh mengesahkan perkara itu. Tiga pegawai SPRM datang ke pejabat saya di Jabatan Wilayah Persekutuan semalam dan meminta pembantu saya hadir ke SPRM pagi ini bagi membantu siasatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pada 14 Nov lepas, kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH bagi tempoh 99 tahun dengan premium tanah ditetapkan pada kadar nominal RM1,000, pengurangan ketara berbanding anggaran premium sebelum ini sebanyak kira-kira RM4.67 juta.
Hannah berkata keputusan itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memelihara mercu tanda bersejarah Kuala Lumpur serta memastikan institusi yang mempunyai nilai warisan dapat terus berkhidmat kepada generasi akan datang.
Beliau berkata kadar premium nominal itu diluluskan susulan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan pertimbangan khas terhadap pemeliharaan bangunan bersejarah berkenaan selepas mengunjungi dewan itu sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 Feb lepas.
-- BERNAMA