KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus komited bagi memastikan seluruh rakyat dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kementerian sentiasa menyokong usaha dilaksanakan oleh pemain industri sektor peruncitan di negara ini dalam menggalakkan masyarakat berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna khususnya ketika musim perayaan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

"Di bawah Inisiatif Payung Rahmah diterajui KPDN, pengguna dilihat dapat berbelanja keperluan harian pada harga berpatutan di samping berpeluang merebut ganjaran istimewa ditawarkan oleh peniaga.

"Inisiatif ini adalah manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik terlibat," katanya dalam kenyataan media sempena pelancaran Jualan Rahmah Hari Raya Bersama Sabella pada Sabtu.

Dalam pada itu, menyahut inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan kerajaan, syarikat popular dengan tagline 'baju tanpa gosok' jenama Sabella kini melancarkan Jualan Rahmah Bersama Sabella bermula 25 Mac hingga 20 April akan datang.

Sabella Holding Sdn. Bhd. (Sabella) berkata, Jualan Rahmah tersebut merangkumi pelbagai produk pakaian sedia dipakai (ready to wear) termasuk baju kurung, blaus, tudung dan pelbagai lagi pada harga sehingga 71 peratus lebih murah berbanding harga jualan murah sedia ada.

"Kami akan menghasilkan sejumlah 700,000 pasang produk pakaian dengan harga serendah RM8.00 dan ia boleh didapati di enam lokasi terpilih. Tambahan diskaun ditawarkan ini sangat berbaloi, berpatutan dan mampu milik kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Dengan jaminan kualiti pada setiap produk, Jualan Rahmah ini juga dapat membantu golongan kurang berkemampuan bagi persediaan menyambut bulan Syawal atau Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi," ujarnya dalam kenyataan sama.

Enam lokasi tersebut adalah di Ibu Pejabat Sabella, Batu Caves, Selangor; Dewan Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor; Dewan Teratai, Shah Alam, Selangor; Dewan Perhimpunan Melayu Kedah, Alor Setar, Kedah; Mydin Tunjong, Kota Bharu, Kelantan serta Dewan TER, Kuala Terengganu, Terengganu.

Selaras dengan hasrat kerajaan dalam mendayaupayakan rakyat dalam menjana pendapatan bagi mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat, SABELLA turut memperkasakan seramai 250,000 orang 'dropship' majoritinya terdiri daripada suri rumah golongan B40 di seluruh Malaysia.