Baru sahaja memasuki hari pertama Ramadan, pelbagai keluhan diterima terutama daripada peniaga bazar Ramadan dan pasar Uptown di sekitar Kuala Ketil, Kedah.

Keluhan itu kedengaran berikutan peningkatan harga sewaan tapak oleh Majlis Daerah Baling (MDB).

Tinjauan Astro AWANI pada Ahad mendapati, harga tapak seluas 10x10 kaki dikenakan kadar sewa melebihi RM600 berbanding RM370 pada 2018.

Menurut peniaga kuih raya, Rokiman Marzuki, pada awalnya MDB menyerahkan operasi mengelola Uptown Kuala Ketil pada sebuah syarikat pengurusan swasta.

Malangnya syarikat terbabit meletakkan harga terlalu mahal sehingga mencecah RM1,800.

Selepas beberapa siri perbincangan antara MDB dan peniaga, harga tapak dikurangkan kepada RM500.

"Hari pertama hasil penjualan kuih boleh mencecah RM200, hari kedua dapat RM100. Selepas hari ketiga baru mencecah RM1,000.

"Jadi kalau boleh minta jasa baik mereka untuk ada sedikit perasaan belas kasihan kepada kami peniaga yang tak mampu bayar tapak bazar yang terlalu mahal," jelasnya.

Penjual permainan kanak-kanak, Suriani Saad pula mengharapkan harga sewaan tapak diturunkan seperti tahun lalu.

"Kadang-kadang meniaga dalam keadaan cuaca tidak menentu, kalau hujan seperti sejak kebelakangan ini akan menjejaskan pendapatan dan ekonomi kami," luah Suriani.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mansor Zakaria berkata, pihaknya telah membawa aduan peniaga-peniaga berkenaan kepada MDB.

Katanya, beliau berharap pihak berwajib turut dapat menghalang kewujudan orang ketiga.

Ini kerana pihak ketiga didakwa mengambil kesempatan menyewakan semula tapak yang disewa kepada peniaga lain dengan harga yang lebih mahal.

"Jika peniaga tidak memberitahu tentang isu ini, kami sendiri yang akan bangkitkan sebab harga yang diletakkan sememangnya lebih tinggi.

"Memandangkan kos sara hidup sekarang tinggi, peniaga juga akan mengenakan bayaran tinggi dan itu hanya akan menjejaskan keadaan ekonomi penduduk di sini," ujar Mansor.


Uptown Ramadan Kuala Ketil akan beroperasi bermula hari ke-16 Ramadan hingga ke malam ambang Aidilfitri bermula pukul 5 petang hingga lewat malam.

Tapak yang disewa sudah lebih lima tahun kekal pada harga terbabit sebelum dinaikkan selepas berlaku serahan pengurusan kepada sebuah syarikat swasta.