Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Hari Cuci Malaysia wadah bentuk budaya kebersihan, tanggungjawab bersama

Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026  -- FB KPKT Malaysia
Pemilihan Taman Rekreasi Air Terjun Junjong sebagai lokasi program turut menekankan kepentingan memelihara kawasan rekreasi semula jadi sebagai aset awam untuk kegunaan masyarakat. - Foto KPKT Malaysia
Advertisement

KULIM: Program Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026 di Taman Rekreasi Air Terjun Junjong di sini pada Sabtu menjadi wadah menyatukan komuniti dalam usaha memperkukuh budaya kebersihan dan meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab memelihara alam sekitar.

Program anjuran Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) dengan sokongan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu menghimpunkan komuniti setempat, agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan masyarakat dan sukarelawan menerusi aktiviti gotong-royong.

Ketua Whip Ahli Majlis MPKK Badrol Hisam Mohd Yusoff berkata HCM 2026 bukan sekadar memberi tumpuan kepada aktiviti membersihkan kawasan, malah membawa mesej bahawa kebersihan merupakan tanggungjawab bersama yang perlu bermula daripada setiap individu.

Beliau berkata program itu turut memberi penekanan kepada perubahan amalan masyarakat daripada hanya membersihkan kawasan selepas berlaku pencemaran kepada langkah pencegahan termasuk mengurangkan penghasilan sisa, mengasingkan sisa serta mengamalkan guna semula dan kitar semula.

“Pendekatan berkenaan penting dalam usaha membentuk kesedaran serta mengubah tingkah laku masyarakat supaya amalan menjaga kebersihan menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian,” katanya selepas merasmikan program itu mewakili Yang Dipertua MPKK Datuk Elmi Yusoff di sini pada Sabtu.

Badrol Hisam berkata pemilihan Taman Rekreasi Air Terjun Junjong sebagai lokasi program turut menekankan kepentingan memelihara kawasan rekreasi semula jadi sebagai aset awam untuk kegunaan masyarakat.

Antara pengisian program ialah senamrobik, majlis perasmian, aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar taman rekreasi serta cabutan bertuah untuk peserta.

Beliau berkata penglibatan komuniti secara langsung dalam HCM membuktikan setiap individu mempunyai peranan dalam memastikan kawasan awam, ruang rekreasi dan persekitaran sentiasa bersih, selamat serta selesa digunakan.

“Hari Cuci Malaysia bukan sekadar program membersihkan kawasan, tetapi juga satu gerakan membina kesedaran bahawa kebersihan bermula daripada diri sendiri.

“Apabila setiap individu memainkan peranan, kita mampu mencipta perubahan besar kepada persekitaran dan kualiti hidup masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement