Hasil siasatan punca kebakaran dan nilai kerosakan stor Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang terlibat dalam kebakaran pada Sabtu dijangka akan diketahui secara rasmi dalam masa dua minggu lagi, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata pihaknya masih menunggu laporan rasmi menerusi siasatan yang sedang giat dilakukan oleh pihak bomba bagi mengesan punca kebakaran.

"Semalam (Sabtu) saya sendiri telah membuat lawatan ke HKL dan kita masih belum dapat membuat sebarang kenyataan sehingga mendapat laporan rasmi daripada pihak bomba," katanya kepada pemberita pada program sepetang bersama Presiden MIC di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Pulau Sebang, di sini malam tadi (Ahad).

Dr Subramaniam berkata tiada sebarang kemalangan jiwa mahupun kecederaan berlaku dan HKL masih beroperasi seperti biasa dan tiada aktiviti yang terjejas.

Katanya pihak hospital juga masih belum mengenal pasti jumlah kerosakan dan tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan terbabit sehingga siasatan forensik oleh pihak bomba selesai.

Sebahagian daripada bangunan IPFN dilaporkan terbakar kira-kira pada pukul 12.15 tengah hari semalam dipercayai akibat litar pintas. -- Bernama