KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan untuk menumpukan kemasukan pelajar ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan pemberian biasiswa dilihat mampu mengembalikan matlamat asal penubuhan sekolah itu, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon.

Fouzi berkata matlamat penubuhan SBP sebenarnya untuk memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di luar bandar mendapatkan pelajaran terbaik, namun dakwanya kebanyakan sekolah berkenaan kini dipenuhi pelajar daripada golongan elit.

"SBP ini seharusnya menjadi tempat bagi pelajar mendapat pelajaran yang terbaik, makanan yang berkhasiat, mendapat tuisyen yang sempurna serta penginapan yang lengkap supaya mereka tidak perlu berjalan kaki jauh untuk sekolah.

"Akan tetapi matlamat itu semakin terhakis dan kini SBP menjadi tempat bagi anak-anak daripada keluarga elit atau T20," katanya ketika dihubungi Bernama.

Khamis lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pada majlis peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasakan Rakyat berkata kerajaan akan menumpukan pemberian biasiswa dan pendidikan sekolah berasrama penuh kepada golongan berpendapatan rendah.

Anwar berkata perkara itu berdasarkan prinsip keadilan sosial yang perlu memberi peluang yang saksama khususnya melibatkan pemberian bantuan lebih kepada golongan terpinggir.

Fouzi berkata, hasrat kerajaan dalam pemberian biasiswa itu juga dilihat mampu mengimbangi peluang dan keadilan bagi pelajar terpinggir untuk mendapatkan pendidikan sewajarnya.

"Mereka perlu ada peluang dan akses yang sama, baru ada keadilan dalam pendidikan. Bagi orang di luar bandar, apabila dapat melihat anak mereka mendapat ruang dan peluang yang kecil itu untuk ke sekolah berasrama penuh serta biasiswa, mereka akan lakukan yang terbaik sama ada keluarga mahupun anak mereka," katanya.

Pengarah Pusat Pembangunan Karier Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Salleh Amat pula berkata SBP di bawah Kementerian Pelajaran dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu menyemak semula kelayakan bagi murid untuk memasuki sekolah berkenaan.

"Dalam hal ini saya berpendapat syarat kemasukan tidak semestinya mereka yang memperoleh markah sangat tinggi, cukuplah kelayakan minimum untuk mereka (golongan berpendapatan rendah) memasuki asrama," katanya.

Beliau berkata hasrat kerajaan itu juga dapat membantu pelajar di luar bandar yang daripada keluarga berpendapatan rendah keluar daripada kepompong kemiskinan di samping meningkatkan fokus pembelajaran mereka.

"Anak-anak di luar bandar ini bukan hanya belajar di sekolah, tetapi ada di antara mereka yang terpaksa membantu ibu bapa bekerja seperti berkebun dan sebagainya untuk meringankan beban keluarga. Jadi, apabila kerajaan kembalikan semula tujuan asal SBP ini, ia boleh beri peluang kepada pelajar menumpukan pelajaran sepenuhnya," katanya.

-- BERNAMA