Skip to main content

Malaysia

Hina Sultan Selangor: Polis tunggu laporan analisis data forensik MCMC

GEORGE TOWN, 10 Mei -- Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay (kanan) mengadakan sidang media selepas Peluncuran Taman Angkat Amanita Kontinjen Pulau Pinang 2026 di Padang Kawat Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.  Turut sama Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ayob Khan berkata barangan kes termasuk telefon bimbit milik suspek telah dihantar kepada MCMC untuk tujuan analisis forensik digital yang akan mengambil sedikit masa untuk diselesaikan. -Gambar fail/Bernama

GEORGE TOWN: Polis sedang menunggu laporan analisis data forensik daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung siasatan kes hantaran imej penghinaan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dimuat naik di Facebook.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata barangan kes termasuk telefon bimbit milik suspek telah dihantar kepada MCMC untuk tujuan analisis forensik digital yang akan mengambil sedikit masa untuk diselesaikan.

“Kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) tetapi mereka minta kita tunggu hasil laporan daripada MCMC. Apabila kita dapat laporan itu, kertas siasatan akan dirujuk semula kepada AGC untuk tindakan susulan,” katanya.

Ayob Khan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah Bersama Komuniti dan Majlis Peluncuran Taman Angkat AMANITA Kontinjen Pulau Pinang di Padang Kawad Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail.

Selain itu, Ayob Khan berkata suspek lelaki berusia 30-an yang direman empat hari sebelum ini bagi membantu siasatan kes tersebut telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata tindakan pendakwaan hanya akan dibuat selepas siasatan lengkap dan arahan lanjut diperoleh daripada pihak pendakwaan.

“Data yang ada dalam telefon bimbit perlu dikaji MCMC untuk memastikan bila kita tuduh, siasatan kita lengkap dan tuduhan mantap,” katanya.

Suspek ditangkap pada 7.10 malam 3 Mei di Bukit Mertajam oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Polis menerima sebanyak 307 laporan berhubung penularan bahan mengandungi unsur penghinaan terhadap Sultan Selangor di media sosial. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video