Kabinet bersetuju mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya yang berisiko kemalangan di seluruh negara termasuk di Genting Highlands, Pahang dan Simpang Pulai, Perak.

Sehubungan itu, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata satu pelan tindakan akan dibuat bagi melaksanakan langkah berkenaan oleh jawatankuasa khas di bawah kementeriannya yang dianggotai Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

"Langkah proaktif itu akan dilaksanakan secepat yang mungkin bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet di Kementerian Pertahanan di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan hasil siasatan jawatankuasa khas terhadap kemalangan bas awam yang terhumban ke dalam gaung dan meragut 37 nyawa berdekatan pusat peranginan terkemuka Genting Highlands pada 21 Ogos lalu.

Mengenai tragedi kemalangan itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata siasatan awal jawatankuasa khas yang dibentangkan JKJR hari ini belum dapat mengenal pasti punca sebenar tragedi itu sama ada berpunca daripada pemandu, bas, keadaan jalan, cerun bukit, brek bas atau tayar bas itu.

Hishammuddin berkata selain hasil siasatan awal, pihak terbabit turut menayangkan simulasi kejadian kemalangan itu dalam mesyuarat hari ini.

"Beberapa wakil daripada Jawatankuasa khas juga mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Genting Berhad hari ini untuk mengambil langkah meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di situ yang turut menyentuh pelbagai aspek termasuk pengurusan operator bas ke kawasan itu," katanya.

Beliau berkata perbincangan itu diadakan kerana laluan ke Genting Highlands itu adalah laluan persendirian dan di bawah urusan pihak Genting.