Memang menarik sikit ujian Jimat Minyak Tak? (JMT) kali ini kerana ia adalah model sedan yang kemungkinan besar akan berfungsi sebagai kenderaan utama seorang pemilik. Kami sendiri pun memang mengharapkan sesuatu yang sangat positif berkenaan kecekapan penggunaan bahan api Honda City baharu; apatah lagi kerana dari segi-segi lain yang kami laporkan di sini, ia memang kereta yang menampilkan pakej keseluruhan yang menarik.
Ujian kami kali ini bersifat lebih urban, dengan jumlah pemanduan yang banyak di kawasan pusat bandar, di samping sedikit penggunaan lebuhraya apabila diperlukan. Oleh itu, jumlah perjalanan tidaklah begitu tinggi iaitu 251km.
Pada akhir tempoh pandu uji, sistem kereta menunjukkan angka 12.3km/liter, ataupun 8.1 liter/100km.
Mengikut sistem yang sama, baki di dalam tangki petrol (dengan kapasiti 40 liter) masih mampu untuk membawa kereta pergi sejauh 75km lagi.
Saiz tangki | 40 liter |
Jumlah perjalanan (pada waktu bacaan diambil) | 251km |
Bacaan OBC (pada waktu bacaan diambil) | 8.1 liter / 100km |
Baki mengikut OBC (pada waktu bacaan diambil) | 75km |
Persoalannya: Jimat minyak tak?
Jawapan: Jika hanya berdasarkan segala variasi kereta yang pernah saya pandu uji, kadar penggunaan petrol 8.1 liter/100km agak ‘biasa-biasa’ sahaja bagi sebuah kereta moden; mungkin juga sedikit mengecewakan.
Tetapi walaupun menggunakan sebuah enjin yang boleh dianggap ‘moden’, enjin Honda City ini tidak mempunyai spesifikasi yang benar-benar termaju termasuk pengecas turbo ataupun suntikan terus (direct injection). Dengan apa yang ada, sebenarnya Honda City ini adalah agak cekap di dalam pembakaran bahan api.
Nak tahu apa isu di sebalik dakwaan kecekapan penggunaan bahan api oleh pengeluar syarikat kereta? Pertama, tiada standard yang diterima untuk seluruh dunia. Contoh, ada standard Eropah, Amerika, Jepun, Australia, dll, dan setiap satu dengan faktor penilaian berbeza. Ditambah pula dengan kelainan skala. Contoh, unit cecair galon (Amerika) berbeza agak banyak dengan galon (UK).
Isu ini ditambah pula dengan cara pihak pengeluar mendapatkan nilai penggunaan bahan api ini. Kalau nak diceritakan, sampai raya keempat pun belum tentu habis tetapi secara ringkasnya, ujian ini dilakukan di dalam keadaan terkawal; maklumlah untuk mereka, ini ujian saintifik yang memerlukan keadaan yang stabil/malar. Oleh itu, ia dibuat sebagaimana kamu lihat orang membuat ujian dyno. Dan ada terma yang disebut ‘road load factor’ yang boleh sedikit sebanyak dieksploitasi oleh pihak yang membuat ujian tersebut. Dalam keadaan ini, tidak mustahil sebuah kenderaan dapat merekod penggunaan bahan api yang sangat baik.
Oleh itu, objektif Jimat Minyak Tak? adalah sangat mudah (tapi tak mudah untuk dipraktikkan). Pandu kereta dengan cara yang tidak terlalu jauh daripada keadaan memandu sebenar. Contoh:
- Tiada usaha untuk meringankan kereta. Bahkan jumlah berat tambahan diantara 30kg sehingga 90kg menjadi kebiasaan.
- Sistem pendingin sentiasa digunakan.
- Sentiasa mengikut kelajuan purata trafik sekitar, ataupun lebih sedikit.
- Tekanan udara tayar mesti berada di dalam julat yang dicadangkan.
- Selagi boleh, perjalanan mestilah lebih kepada jalan biasa (bukan lebuhraya).
- Selagi boleh, ujian hanya merangkumi jarak satu tangki penuh, atau kurang, tanpa isian semula.
- Selagi boleh, angka penggunaan bahan api berpandukan OBC (on-board computer).