KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu bertanggungjawab dan meletak jawatan susulan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan, Zahid perlu bertanggungjawab penuh dan meletak jawatan seperti mana Datuk Seri Najib Tun Razak lakukan selepas PRU14.

"Jangan banyak alasan, ini prestasi paling buruk untuk UMNO dan BN, Zahid perlu bertanggungjawab dan segera letak jawatan.

"Tidak perlu banyak alasan, ini suara rakyat yang jelas tidak boleh menerima beliau (Zahid) sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

"Berjiwa besarlah dan ketepikan kepentingan peribadi, dahulukan parti dengan meletak jawatan," katanya kepada Astro AWANI.

DAPATKAN KEPUTUSAN PRU15 DI SINI



Dalam keputusan PRU15 yang diumumkan sehingga awal pagi tadi BN dilaporkan hanya memenangi 30 kerusi Parlimen, jumlah kerusi lebih rendah berbanding dicapai mereka pada PRU14.

Pada PRU14, UMNO menang di 54 kerusi Parlimen.

Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beberapa kerusi yang dimenangi UMNO dalam PRU14 lalu, tewas dan beralih ke Perikatan Nasional (PN).

Selain Mohamed Nazri, beberapa pemimpin UMNO yang lain antaranya Tan Sri Noh Omar, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi,  Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan turut membuat gesaan yang sama.