KUALA LUMPUR: Sebanyak 50,000 penjaja dan peniaga kecil dari seluruh negara disasarkan berhimpun sempena sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan (HPPK) 2026 di Stadium Kajang, Selangor selama tiga hari bermula 30 Okt ini.
Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) Datuk Zainal Abidin Abd Majid berkata sasaran itu adalah manifestasi penghargaan terhadap komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu golongan berkenaan menerusi pelbagai bantuan dan insentif dalam Belanjawan 2027.
“Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi tumpuan dan penekanan yang membawa impak positif kepada pembangunan penjaja dan peniaga kecil khususnya kaum Melayu dan amnya masyarakat penjaja dan peniaga kecil negara.
“Pengukuhan peruntukan, peluasan akses kepada pembiayaan serta pelbagai inisiatif sokongan perniagaan merupakan langkah memberikan harapan kepada golongan penjaja dan peniaga kecil untuk terus meningkatkan daya saing dan mengembangkan perniagaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Zainal Abidin berkata gabungan itu turut menghargai peranan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam menyokong agenda pembangunan usahawan serta menjadi penghubung penting antara kerajaan dengan golongan peniaga kecil.
Beliau berkata kerjasama itu akan dapat terus diperkukuh bagi memastikan keperluan sebenar penjaja dan peniaga kecil di peringkat akar umbi sentiasa diberi perhatian dalam pelaksanaan dasar serta program kerajaan.
“GPPPKMM percaya bahawa kejayaan agenda pembangunan PMKS termasuk penjaja dan peniaga kecil perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang perniagaan yang lebih luas, akses pembiayaan yang bersesuaian serta persekitaran perniagaan yang lebih kondusif,” katanya.
-- BERNAMA