IPOH:Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pemimpin UMNO dan Pas di negeri itu.

Sehubungan itu, beliau enggan memberi sebarang ulasan berhubung kenyataan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang mendakwa Menteri Besar tidak menghargai semangat muafakat dan kerjasama yang dipersetujui ketika membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Faizal berkata, sekiranya memberi ulasan terhadap kenyataan Saarani itu, beliau bimbang kenyataannya disalah tafsir oleh pihak lain.

“Cuma yang nak saya sampaikan, semalam kami telah mengadakan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Perak dan fokus kerajaan hari ni adalah untuk meneruskan kerja, memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Banyak seperti yang saya umumkan baru-baru ini diskaun-diskaun tunggakan tanah semua ni dilanjutkan dan inilah perkara-perkara yang rakyat nak nantikan,” kata beliau.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian insentif kemenangan sukan hoki dan kriket, di sini pada Khamis.

Pada Isnin, Saarani melahirkan rasa kecewa kerana mendakwa persefahaman serta perjanjian ketika pembentukan kerajaan negeri PN sudah tidak dihormati.

Menurut Saarani, persefahaman tidak dihargai dengan baik apabila satu demi satu tindakan Ahmad Faizal dilihat membelakangi semangat itu.

Antara perjanjian yang tidak penuhi Menteri Besar ialah cubaan untuk mengubah senarai nama Exco yang sudah dipersetujui serta cubaan menukar pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri.