Hubungan diplomatik Malaysia dengan Singapura tidak akan terjejas susulan permohonan semakan semula oleh Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, berkata semakan semula yang dikemukakan berlandaskan undang-undang antarabangsa.

Justeru, beliau yakin tindakan sedemikian tidak akan mengeruhkan hubungan sedia ada dengan Singapura.

"Macam keputusan diberi oleh ICJ dahulu (yang memihak) kepada Singapura, walaupun tidak memihak kepada Malaysia, tidak berlaku hubungan keruh, bahkan hubungan dagangan makin meningkat.

"Kerajaan tidak akan membiarkan sebarang kemungkinan yang ada daripada terlepas dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara kita kerana ia amat penting bagi kita," katanya dalam sidang media, selepas menghadiri majlis sumbangan peralatan sekolah dan penyerahan geran biasiswa kepada 100 murid sekolah rendah Parlimen Kepala Batas, di sini hari ini.

BACA: Singapura kaji fakta baharu mengenai pemilikan Pulau Batu Puteh

BACA: Johor harap keputusan positif isu Pulau Batu Puteh

BACA: Wajarkah Malaysia menyemak kes Batu Puteh?

Jumaat lepas, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan berkata Malaysia telah memfailkan permohonan semakan semula penghakiman ICJ ke atas Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge).

ICJ turut mengesahkan Malaysia membuat permohonan berkenaan pada Khamis susulan penemuan tiga dokumen baharu iaitu surat menyurat dalaman pihak berkuasa Tanah Jajahan Singapura, laporan fail pegawai tentera laut Britain 1958 dan peta operasi laut di National Archives of the United Kingdom baru- baru ini sejajar dengan peruntukan statut berkaitan pengaturan masa yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Reezal berkata, tindakan berkenaan menunjukkan kerajaan mengambil langkah sewajarnya dalam mempertahankan kedaulatan negara yang sentiasa menjadi keutamaan.

Malah tindakan sama juga akan dilakukan untuk mempertahankan wilayah yang menjadi hak kedaulatan negara termasuk pertikaian di Laut China Selatan, serta tuntutan ke atas Pulau Sipadan , Ligitan serta Sabah yang mana ia merupakan sebahagian daripada wilayah Malaysia.

Pada 23 Mei, 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh sementara Batuan Tengah adalah milik Malaysia manakala Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Pulau Batu Puteh terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh di Johor.