SIBU:Ibu bapa pelajar Malaysia yang mati dibunuh, berlepas ke Taiwan semalam untuk urusan pengebumian mendiang, kata peguam keluarga mangsa Yap Hoi Liong.

Yap, ketika dihubungi Bernama, berkata ibu bapa Irene Chung berlepas ke sana dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada kira-kira 2.15 petang.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan bahawa ibu mendiang, Ting Ching Ching, 45, telah membuat laporan di Balai Polis Pusat Sibu pada Khamis menyatakan bahawa beliau telah menerima panggilan daripada Universiti Evergreen Taiwan, di mana anaknya belajar, yang memaklumkan bahawa Chung telah ditemukan mati dibunuh di daerah Alian di Kaohsiung.

Chung, 24, telah dilaporkan hilang pada Khamis pagi dan rakaman visual kamera litar tertutup menunjukkan bahawa mangsa berjalan seorang diri di jejantas sepanjang landasan kereta api yang terletak berhampiran universiti itu pada kira-kira 8 malam Rabu.

Berbekalkan maklumat menerusi rakaman visual itu, polis Taiwan berjaya mengesan dan menangkap seorang suspek pada Khamis yang kemudian mengaku telah menjerut leher mangsa sebelum membuang mayatnya.

BACA: Pelajar Malaysia di Taiwan ditemui mati selepas 24 jam dilaporkan hilang

BACA: Presiden, Perdana Menteri Taiwan mohon maaf atas kematian pelajar Malaysia

Mayat Chung kemudian ditemui dalam keadaan hanya berpakaian dalam dengan seutas wayar terlilit di sekeliling lehernya dan suspek yang mempunyai nama keluarga Liang itu telah ditahan kerana kesalahan membunuh serta melakukan serangan seksual.

Presiden Taiwan Tsai Ing-wen dan Perdana Menteri Su Tseng-chang dilaporkan telah memohon maaf kepada keluarga mangsa serta rakyat Malaysia atas kejadian itu.

-- BERNAMA