SUNGAI PETANI: Ibu sarat mengandung tujuh bulan antara 13 individu yang ditahan dalam Operasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda pada malam Rabu.

Wanita berusia 34 tahun itu ditahan bersama empat wanita lain ketika sedang mengambil dadah di kawasan Tanjung Dawai.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak, operasi kali ini diketuai Irdawati Abdul Hamid yang mengempur kawasan tumpuan sekitar Gurun, Tanjung Dawai, Tikam Batu, Kota Kuala Muda dan Sungai Petani.

“Hasilnya AADK berjaya menahan 13 individu yang disyaki terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk ujian saringan awal air kencing dan hasil keputusan mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan Morfin.

“Kesemua yang ditahan berumur 22 sehingga 64 tahun akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998,” katanya.

Lima individu akan direman di Lokap AADK Kuala Muda, lima wanita yang gagal hadir untuk jaminan sebelum ini akan dituduh di Mahkamah manakala tiga individu lain dibebaskan dengan jaminan bersyarat.