PELBAGAI kisah viral menjadi tumpuan sepanjang minggu lalu - daripada kisah kad pengenalan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, keceluparan Azwan Ali, hinggalah kes perceraian aktres Fasha Sandha dan suaminya. Paling ketara di carta adalah krisis politik yang melanda Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Berikut adalah senarai berita pilihan pengarang Astro AWANI untuk minggu bermula 18 Januari hingga 24 Januari 2016.

ISNIN, 18 Januari:

'Bukan kad pengenalan saya' - Ahmad Maslan

Isu kad pengenalan

Ramai yang berkongsi status yang dimuat naik di sebuah akaun Facebook di mana pemilik akaun itu mendakwa menjumpai kad pengenalan milik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan. Bagaimanapun, Ahmad telah menafikannya.

Permaisuri Rania balas 'jenaka bodoh' Charlie Hebdo

Jordan, Permaisuri Rania Al Abdullah, membalas jenaka bodoh majalah satira Perancis, Charlie Hebdo, tentang si kecil malang Aylan Kurdi, dengan cara paling terhormat. Baginda telah menyatakan bahawa Aylan mungkin akan bergelar doktor, guru atau seorang bapa yang penyayang seandainya dia tidak menemui ajal, tidak seperti yang dipersendakan oleh majalah tersebut


SELASA, 19 Januari:

'Kami tidak mahu mati', reaksi biadap pramugari jadi viral

Sebuah kisah viral dari laman sosial mengenai rakaman video seorang pramugari yang membuat pengumuman penangguhan kepada penumpang dengan cara yang amat tidak disenangi.

Azwan Ali bakal disaman gara-gara kicap

parodi iklan kicap

Selebriti kontroversi Azwan Ali bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang Tirana Products Sdn Bhd, sebuah syarikat pengeluar kicap yang mendakwa Azwan mengeluarkan kenyataan dan video yang bersifat fitnah terhadap produk syarikat tersebut.


RABU, 20 Januari:

UMNO Kedah umum hilang kepercayaan terhadap Mukhriz

Suasana politik negeri Kedah gempar apabila pemimpin UMNO negeri itu sepakat mengumumkan pendirian hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam sidang media selepas perjumpaan tertutup kepimpinan UMNO negeri di sini.

Fasha, Jejai sah cerai talak satu

Fasha-Jejai bercerai

Spekulasi yang melanda rumah tangga pelakon Fasha Sandha akhirnya terjawab apabila dia dan suaminya, Rizal Ashram Ramli, sah bercerai talak satu. Prosiding pengesahan lafaz cerai dilakukan secara tertutup di hadapan Hakim Syarie Muhammad Abdul Karim Wahab.


KHAMIS, 21 Januari:

Kedudukan Mukhriz ditentukan anggota DUN, jemaah pemangku Sultan

Sokongan kepada Mukhriz

Kedudukan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah hanya boleh ditentukan menerusi undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau kuasa pada Jemaah Pemangku Sultan negeri itu, kata pakar-pakar perlembagaan.

'Serah kepada rakyat nilai prestasi saya' - Mukhriz

“Serah kepada rakyat menilai keberkesanan pentadbiran saya.” Itu pendirian Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas UMNO Kedah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau. Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada rakyat supaya menilai prestasinya sejak Barisan Nasional berjaya merampas semula Kedah daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13.


JUMAAT, 22 Januari:

'Jangan risau guna produk Qu Puteh yang lain' - Datuk Vida


Pengasas syarikat kosmetik

Orang ramai diminta tidak risau untuk menggunakan produk Vida Beauty Sdn Bhd selain Whitening Pro 9 yang ditarik jualannya dari pasaran. Pemiliknya, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berkata, produk berkenaan akan diteliti pihaknya selain mengakui akur dengan arahan Kementerian Kesihatan terhadap jualan Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh UV Block berkenaan.

Mukhriz bertindak terhadap pihak cuba aniaya rakyat

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memberi amaran untuk bertindak terhadap mana-mana pihak yang dilihat cuba menganiayai dirinya dan rakyat Kedah. Beliau berkata, apa yang akan dilakukan selama ini bukanlah atas sebab kepentingan peribadi tetapi selepas memikirkan kepentingan rakyat Kedah.


SABTU, 23 Januari:

Ada yang iri hati - Datuk Seri Vida

"Inilah harga sebuah kejayaan dan akan ada orang yang iri hati, ini lumrah biasa dalam perniagaan." Itu reaksi segera pengasas produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Datuk Vida berhubung dua produknya yang diharamkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Celine Dion ucap selamat tinggal kepada suami melalui 'secret handshake'

Pengebumian suami Celine Dion

Pengebumian suami kepada diva antarabangsa, Celine Dion, Rene Angelil, berlangsung pada Jumaat di Montreal, Kanada, dan ia dihadiri bukan sahaja bintang muzik, tetapi juga ahli politik dan kenamaan di Kanada. Majlis pengebumian itu turut disiarkan secara langsung menerusi sebuah stesen televisyen Kanada, selain turut mendapat liputan secara atas talian.


AHAD, 24 Januari:

Tidak mungkin serpihan di Thailand milik MH370 - Pakar penerbangan

MH370

Serpihan yang disyaki bangkai pesawat telah dijumpai di bahagian pantai selatan Thailand pada Sabtu tidak mungkin milik pesawat Malaysia Airlilnes MH370 yang hilang hampir dua tahun lalu. Pakar penerbangan, Greg Waldron, seorang pengarang urusan di Flightglobal berkata walaupun arus kuat Lautan Hindi boleh menolak beribu-ribu serpihan sejauh mungkin namun adalah mustahil serpihan dapat dihanyutkan ke seluruh Khatulistiwa hingga ke Hemisfera Utara.