BANTING: Polis telah mengenal pasti identiti empat mangsa yang rentung selepas kereta dinaiki terjunam ke bawah jejambat dan terbakar dalam kejadian di Kilometer 30.8 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) awal pagi Sabtu.

BACA: Empat rentung kenderaan terbabas ke bawah jejambat sebelum terbakar

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kesemua mangsa terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita.

"Mangsa lelaki iaitu pemandu kenderaan dikenali Tan Hiang Hock, 30, beralamat Taman Seri Bunut, Banting adalah peniaga dan penumpang hadapan Tan Poh Hock, 22, beralamat Taman Yayasan, Jenjarom merupakan mekanik.

"Mangsa wanita pula dikenali Low Jin Wen, 18, iaitu seorang jurujual beralamat di Taman Muhibbah Telok Bunut, Banting dan seorang lagi iaitu Phan Thi Bich, 24, adalah warga Vietnam beralamat Taman Yayasan, Jenjarom," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Azizan berkata, kemalangan maut melibatkan sebuah kereta Mercedes itu dipercayai berlaku semasa mangsa yang datang dari arah Bandar Saujana Putra menghala ke Banting, hilang kawalan dan terbabas melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri.

Katanya, rempuhan itu menyebabkan kereta itu terjunam ke bawah jambatan dan terbakar.

"Kes masih dalam siasatan dan saksi bebas telah dapat dikesan untuk direkod keterangan," katanya.

Sinar Harian melaporkan, insiden kira-kira jam 1.44 pagi itu menyebabkan kesemua empat mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terbakar.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita asal: Identiti 4 mangsa rentung kemalangan di SKVE dikenal pasti