BAGAN SERAI: Identiti seorang lelaki yang ditemukan rentung dalam van selepas terbabit nahas di Kilometer 198.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini pada Sabtu, sudah dikenal pasti.

Dalam kejadian sekitar jam 8.20 pagi itu, mangsa, Ahmad Termizi Ramli, 45, yang berasal dari Sungai Baru, Selingsing, Semanggol di sini disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang menunggu pekerja penyelenggaraan membuat kerja-kerja memotong rumput.

"Siasatan mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 24 tahun dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke lorong kecemasan lalu melanggar van tersebut.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa terperangkap dalam van sebelum kenderaan itu hangus terbakar," katanya dalam satu kenyataan di sini.

BACA: Seorang rentung nahas dua kenderaan di Lebuhraya PLUS

Menurut beliau, pemandu lori dan kelindan berusia 37 tahun melecur pada bahagian kepala dan badan serta luka di kepala.

Tambah beliau, siasatan diteruskan bagi mengetahui punca kebakaran dan kemalangan.

"Kita menunggu laporan yang dijalankan oleh pasukan forensik, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

"Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, Inspektor Marzuki Mat di talian 05-7210539 atau 013-9116222 bagi membantu siasatan. - Sinar Harian