Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia, IKHLAS bertegas untuk menubuhkan sukarelawan bagi menangkap peniaga warga asing jika isu kebanjiran golongan berkenaan yang didakwa memonopoli premis perniagaan di negara ini tidak mampu ditangani secara berkesan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa, sejak tahun 2012, pelbagai langkah diambil pihaknya untuk menyuarakan dan mengekang isu berkenaan yang disifatkan menyekat 'periuk nasi' peniaga tempatan, namun, jumlah peniaga asing berkenaan terus meningkat tanpa penguatkuasaan sewajarnya.

"Sekiranya isu ini (kebanjiran peniaga asing) masih berlarutan, IKHLAS bersama dengan NGO-NGO lain, kita akan tubuh satu pasukan sukarelawan, kita akan buat citizen arrest, memang kita sebagai rakyat Malaysia kita boleh buat tangkapan, tangkap dan kita serah kepada polis untuk ambil tindakan,"

"Kalau Kementerian Dalam Negeri, KDN tidak boleh buat, kita sebagai rakyat Malaysia, demi rakyat dan untuk keselamatan negara, maka kita akan bertindak sebelum negara ini hancur," tegasnya semasa ditemui media di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.

Beliau mendakwa ada kalangan penjawat awam dan persatuan yang terlibat dengan isu berkenaan sehingga penyelesaian masalah berkenaan tidak mampu ditangani.

"Contoh Petaling Street, kawasan ini katanya tidak boleh diusik sebab kawasan ini ada pengarah, mereka lead dan dilindungi,"

Tambahnya, pada 7 Jun 2012, IKHLAS telah menghantar memorandum mengenai kebanjiran peniaga-peniaga warga asing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM untuk mengambil tindakan.

"Pada 15 Jun 2012, IKHLAS juga telah menghantar notis bantahan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur namun tidak mendapat maklum balas jadi IKHLAS telah membuat laporan polis terhadap Datuk Bandar untuk tindakan SPRM,"

"Segala bukti kita sudah serah kepada SPRM dan SPRM sedang menyiasat perkara berkenaan termasuk tentang penglibatan penjawat awam dalam isu berkenaan,"jelasnya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi membendung kebanjiran peniaga warga asing yang menjejaskan pendapatan peniaga tempatan.

"Dulu IKHLAS sudah syorkan perkara ini tetapi tiada tindakan dan tiada jawatankuasa ditubuh. Kalau boleh jawatankuasa itu nanti libatkan NGO sekali , IKHLAS dan beberapa NGO lain," tambahnya.