awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
LZS sasar kutip RM2.2 juta zakat PDRM Selangor menerusi skim potongan gaji
Ujian Tingkatan 3 bantu murid pilih aliran, bukan bersifat ‘high stakes’ - Fadhlina
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

IKM Besut bina stesen pengecas EV pertama

Bernama
Bernama
22/01/2026
02:45 MYT
IKM Besut bina stesen pengecas EV pertama
Mohd Farris (kanan) ketika merasmikan Stesen Pengecas EV IKM Besut semalam. - Facebook IKM Besut
JERTIH: Institut Kemahiran MARA (IKM) Besut melangkah ke hadapan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan memfokuskan teknologi hijau melalui pembinaan sebuah stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) pertama di pusat pengajian TVET MARA di negeri ini.
Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Terengganu Mohd Farris Radzuan berkata meskipun stesen yang menyediakan satu unit pengecas EV itu dibina di dalam kawasan IKM Besut, stesen itu juga boleh dimanfaatkan oleh semua pemilik EV di daerah berkenaan.
Beliau berkata selain tujuan pembelajaran dan kegunaan pengguna, stesen pengecas EV yang pertama di Besut itu juga dapat memudahkan pengunjung dari luar daerah yang melakukan perjalanan jarak jauh untuk singgah mengecas kenderaan mereka.
"Pemilik EV boleh mengecas dengan memuat turun kod respons pantas (QR) yang terdapat di stesen pengecas dan bayaran dibuat secara dalam talian," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Stesen Pengecas EV IKM Besut di sini, yang turut dihadiri Pengarah IKM Besut Ir Abdul Athar Ibrahim.
Mohd Farris berkata pusat pengecas berkenaan juga akan mengukuhkan aspirasi IKM Besut untuk menjadi institusi rujukan dalam teknologi baharu termasuk EV, elektrifikasi dan teknologi tenaga lestari.
Beliau berkata sebagai pelengkap kepada stesen pengecas itu, IKM Besut turut menerima dua unit EV baharu jenama BYD Atto 3 dan Proton e.MAS 5 di bawah peruntukan Program Rasionalisasi TVET Zon Timur oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Kedua-dua kenderaan itu katanya, akan dimanfaatkan oleh pelajar yang menjalani latihan amali di bawah program Diploma Teknologi Automotif IKM Besut dalam Sistem EV.
"Dalam program pengajian ini, terdapat modul pembelajaran berkaitan kenderaan hibrid dan EV, malah program ini juga bakal mempunyai Pusat EV apabila bangunan baharu di institut tersebut siap pada akhir 2027," katanya.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#Mohd Farris Radzuan
#MARA
#IKM Besut
#pengecas kereta elektrik
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan