MALAYSIA
Imigresen Johor tahan 27 pekerja warga asing

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 27 pekerja warga asing tanpa permit sah dalam Op Selera di sebuah premis makanan di Bandar Baru Permas Jaya pada Isnin lepas. - Foto JIM Johor
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 27 pekerja warga asing tanpa permit sah dalam Op Selera di sebuah premis makanan di Bandar Baru Permas Jaya di sini pada Isnin lepas.
Pengarahnya Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi bersepadu melibatkan 25 pegawai daripada bahagian penguatkuasaan jabatan itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam berhubung kegiatan mereka di premis berkenaan.
Beliau berkata tangkapan dibuat membabitkan masing-masing lapan lelaki dan wanita warga Indonesia, lima lelaki serta enam wanita rakyat Myanmar berusia antara 18 hingga 50 tahun.
"Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963."Seorang lelaki tempatan yang juga pemilik premis turut ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing," katanya dalam kenyataan malam ini.
Mohd Rusdi berkata kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut, selain tiga notis untuk hadir ke pejabat telah dikeluarkan bagi membantu siasatan.
"Pada masa sama, kita ingin menegaskan kepada orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi atau mengambil pendatang tanpa izin untuk bekerja atau bakal berdepan tindakan undang-undang.
"Justeru, pihak majikan dinasihatkan berhubung terus dengan pejabat imigresen berhampiran bagi mendapatkan maklumat tepat (dan sahih) sekiranya ada pihak yang mendakwa boleh menguruskan pekerja asing," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami