KUALA LUMPUR: Telefon bimbit wanita itu berdering, menandakan ada panggilan masuk, dengan nombor tidak dikenali terpapar pada skrin peranti.
Afiza (bukan nama sebenar) membiarkan sahaja panggilan itu tidak berjawab dan telefonnya berhenti berdering. Selang beberapa minit, peranti pintar itu kembali berdering.
"Tak berhenti-henti (panggilan masuk)," keluhnya.
Kemungkinan besar si pemanggil adalah "John", ceti haram atau along yang meminjamkannya RM10,000 sebelum itu, bagi membolehkan Afiza menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapinya akibat penularan COVID-19. Menurutnya, dia menerima lebih 10 panggilan telefon dan pesanan saban hari.
Wanita berusia 28 tahun itu yang juga ibu kepada dua anak, diganggu, diugut dan dimalukan apabila dia tidak dapat membayar balik pinjamannya. Apabila berjaya melunaskan hutang itu, sangka Afiza tamatlah gangguan tersebut. Telahannya tersasar kerana dia terus dihujani panggilan telefon daripada along.
Kegiatan pemberi pinjaman tidak berlesen ini telah wujud sejak sekian lama dan menjadi pilihan bagi mereka yang terdesak - baik miskin ataupun kaya - perlukan wang tunai pada kadar segera. Akan tetapi, pandemik dan peningkatan kos sara hidup, selain mudah diakses menerusi media sosial, menyebabkan kegiatan along kini ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan.
Afiza hanyalah seorang daripada ribuan rakyat Malaysia yang dipercayai meminjam daripada along sebelum dan selepas penularan COVID-19, pandemik yang hampir melumpuhkan ekonomi kebanyakan negara di dunia bermula 2020.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia melaporkan mereka menerima kira-kira 25 kes mangsa ceti haram yang meminta pertolongan badan bukan kerajaan itu saban hari sepanjang 2021, iaitu peningkatan 30 peratus berbanding sebelum pandemik.
Sementara itu, dilaporkan bagi tempoh Januari hingga 30 April 2022, polis menyiasat 324 kes membabitkan along, menahan 543 individu dan mendakwa 159 orang di mahkamah. Bagaimanapun, sebahagian besar kes tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
UMPAN DUIT SEGERA
Kegiatan ceti haram adalah kesalahan menurut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan sesiapa yang memberi pinjam wang tanpa lesen sah boleh didenda RM250,000 hingga RM1 juta, atau dipenjarakan hingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Akan tetapi, berumpankan pinjaman yang amat mudah diperoleh berbanding bank dan institusi kewangan lain yang amnya mengambil masa serta memerlukan pelbagai dokumen, ceti haram adalah pemangsa yang sukar dijauhi.
Bagi mereka yang kesuntukan masa, atau tidak ada cagaran atau skor kredit yang tidak bagus, wang yang dipinjamkan oleh along dengan begitu mudah dilihat menjadi "penyelamat" seorang peniaga pisang goreng umpamanya, yang boleh menggunakan wang itu sebagai modal untuk meneruskan perniagaan.
"Kegiatan along tidak akan dapat dibanteras," kata seorang bekas ceti haram yang hanya mahu dikenali sebagai Guy.
Dalam pada itu, pakar kewangan daripada Finwealth Management, Felix Neoh bersetuju bahawa ceti haram adalah pelan alternatif bagi kebanyakan isi rumah yang mengalami kesempitan hidup.
Katanya, keterdesakan, ditambah pula pinjaman dapat diperoleh dengan mudah dan cepat, menyebabkan ramai yang mengetepikan rasa bimbang meminjam daripada along.
Bagaimanapun kata beliau, disebabkan kegiatan along tidak dikawal selia, lazimnya pinjaman itu bersertakan syarat-syarat yang keterlaluan.
"Oleh sebab pinjaman diberi tanpa sebarang cagaran selain dokumen sokongan yang diperlukan pula minimum, kadar faedah yang dikenakan adalah tinggi. Kadar ini akan meningkat berkali ganda jika peminjam gagal atau lewat membayar balik hutang dalam tempoh yang ditetapkan," jelasnya.
Guy menggambarkan kegiatan itu sebagai amat menguntungkan. Lelaki berusia 38 tahun itu bekerja dengan sindiket ceti haram dari 2016 hingga 2018 sebelum menjalankan sendiri kegiatan tersebut dari 2019 hingga 2021.
Ujarnya, antara yang pernah dilakukannya ialah meminjamkan wang pada kadar faedah setinggi 20 hingga 50 peratus, bayaran balik dalam tempoh singkat dan menaikkan kadar faedah jika peminjam tidak dapat membayar balik hutang.
Menurutnya, pinjaman yang diberikan tidak terhad kepada peniaga dan pemilik perniagaan kecil-kecilan sahaja tetapi turut melibatkan jumlah besar yang diberikan kepada individu berkedudukan.
"Saya pernah meminjamkan RM2 juta kepada seorang 'Datuk'. Dia bayar balik, namun ketika itu jumlah yang perlu dibayar sudah meningkat kepada RM5.6 juta," ceritanya.
Jika seseorang itu tidak boleh membayar balik, dia akan menelefon dan menghantar mesej kepada si peminjam, mengingatkan mereka agar membayar semula hutang masing-masing. Adakala peringatan diberikan secara terbuka seperti menampal poster yang memaparkan kad pengenalan si peminjam dan memberitahu orang ramai bahawa individu tersebut tidak membayar balik hutangnya dengan along.
Guy berkata dia tidak menggunakan kekerasan ataupun merosakan harta benda, baik semasa dia menjalankan sendiri kegiatan itu atau ketika bekerja untuk orang lain. Bagaimanapun semasa bekerja dengan sindiket, Guy yang menyifatkan dirinya sebagai seorang yang lebih gemar "memujuk", akan merujuk kes sukar, iaitu peminjam yang enggan atau tidak mampu membayar balik, kepada "penguat kuasa". Menurut laporan media, antara tindakan yang diambil ialah menyimbah cat merah ke atas rumah dan membelasah peminjam.
Dia juga mendakwa enam orang yang meminjam daripadanya bertindak membunuh diri selepas tidak mampu membayar semula hutang mereka, bukan sahaja hutang dengannya tetapi juga dengan ceti haram lain.
Afiza menggigil apabila mengingati hari-hari dia tidak mampu membayar balik pinjaman yang dibuat kali kedua. Katanya ketika itulah hidupnya mula diganggu.
"Antara ugutan yang saya terima ialah rumah akan dibakar, maklumat peribadi saya akan didedahkan kepada umum, nak bunuh saya atau suami, dan paling teruk ialah ugutan merogol anak perempuan saya yang berumur setahun," kongsinya.
Dia kemudian membuat laporan polis dan melunaskan hutangnya. Kini, selain ditawarkan membuat pinjaman baharu, panggilan telefon dan mesej yang diterimanya menyatakan keluarganya hanya akan selamat dan mereka akan membayar Afiza RM2,000, jika dia menarik balik laporan polis itu.
SEMAKIN "CANGGIH"
Dahulu, iklan along ini adalah dalam bentuk poster yang ditampal di merata tempat termasuk tiang elektrik. Kini, iklan sedemikian turut ditemukan di platform media sosial.
Berkongsi lanjut pengalamannya, Afiza berkata dia ternampak iklan itu di Facebook, menawarkan pakej pinjaman tanpa bayaran pendahuluan serta tidak memerlukan dokumen. Dia kemudian melayari laman sesawang "syarikat pemberi pinjaman" itu dan mengisi maklumat peribadinya bagi memohon pinjaman berjumlah RM4,000.
Bagaimanapun dia perlu membayar balik jumlah itu dengan tambahan 25 peratus lagi, menjadikan jumlah keseluruhan RM5,000 yang mesti dilangsaikan pada hari ke-30 selepas pinjaman dibuat.
Wanita itu juga mengesyaki maklumat peribadinya dikongsikan dengan ceti haram lain.
Guy menyifatkan iklan sedemikian sebagai "penipuan yang jelas" dan pemberi pinjaman tersebut pula adalah "along palsu" kerana laman sesawang dan borang dalam talian itu kononnya bagi menunjukkan mereka sebuah syarikat yang sah.
Pakar keselamatan siber Fong Choong Fook daripada LGMS Berhad tidak terkejut mendengar bagaimana Afiza memperoleh pinjaman atau tentang kemungkinan data peribadi wanita itu dikongsikan dengan pihak lain.
"Kami jumpa banyak iklan begini di platform media sosial seperti Facebook.
"Berdasarkan data peribadi itu, mereka boleh tahu umur kita, alamat tetap, di mana seseorang itu tinggal, nombor pendaftaran kenderaannya dan lain-lain," kata beliau.
Fong menggesa kerajaan mengetatkan syarat pengiklanan di media sosial selain meminta pengendali platform media sosial bekerjasama dan meningkatkan perlindungan pengguna masing-masing.
Beliau juga menasihati orang awam agar lebih berwaspada terhadap ceti haram yang menawarkan perkhidmatan mereka dalam talian.
Sementara itu, Felix menyarankan kerajaan meningkatkan ketersediaan dan akses orang ramai kepada pemberi pinjam wang berlesen selain memperhebat penyebaran maklumat tentang akibat meminjam daripada along.
"Kita juga perlu meningkatkan kadar celik kewangan rakyat Malaysia agar mereka lebih cakna tentang kepentingan perancangan kewangan dan kewangan peribadi bagi membina gaya hidup kewangan yang lebih sihat," tambahnya.
Guy yang kini berusaha melakukan kerja "halal", berpendapat adalah lebih baik jika mereka yang terdesak itu dibantu memperoleh pinjaman segera daripada institusi berlesen. Katanya kerajaan juga wajar menjalankan kajian bagi mengenal pasti punca wujudnya ceti haram.
"Berdasarkan pengalaman saya, (sedikit saja yang meminjam) kerana kecemasan," katanya, menambah kebanyakan yang meminjam daripadanya adalah bagi membiayai kegiatan maksiat mereka seperti judi dan pelacuran.
-- BERNAMA
Bernama
Wed Mar 29 2023
Dilaporkan bagi tempoh Januari hingga 30 April 2022, polis menyiasat 324 kes membabitkan along, menahan 543 individu dan mendakwa 159 orang di mahkamah. - Gambar hiasan/BERNAMA
Kongres Khas PKR fokus reformasi pemilihan parti
Kongres Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan pada Ahad akan meminda perlembagaan parti.
Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata pindaan tersebut melibatkan aspek jumlah perwakilan, kuota gender, dan etnik.
Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata pindaan tersebut melibatkan aspek jumlah perwakilan, kuota gender, dan etnik.
“Sifat materialistik mengundang malapetaka dalam masyarakat” - Dr Maza
Nilai kemanusiaan tidak lagi mendominasi kehidupan kerana segala-galanya diukur berdasarkan keuntungan semata-mata.
Pembunuhan kejam, buli siber detik suram 2024
Tahun 2024 mencatatkan pelbagai peristiwa tragis menggemparkan negara termasuk jenayah kejam yang meragut nyawa empat individu.
Jumlah mangsa banjir terus catat penurunan
Jumlah mangsa banjir terus mencatat penurunan kepada 305 mangsa daripada 93 keluarga setakat jam 9 pagi Sabtu.
AWANI Ringkas: Kes bayi dibeku di hospital di Klang
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Taylor’s College raih keunggulan pendidikan dengan Anugerah Platinum ACCA
Pencapaian status Platinum ini selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2030.
#AWANIRingkas 14 Disember 2024 | 9 AM
Berikut merupakan rangkuman berita setakat 9 pagi, 14 Disember 2024
1️⃣ Banjir: Arahan KPKT kepada PBT
2️⃣ Jualan kenderaan baharu Malaysia
3️⃣ Kes bayi dibeku di hospital di Klang
#awaniringkas
1️⃣ Banjir: Arahan KPKT kepada PBT
2️⃣ Jualan kenderaan baharu Malaysia
3️⃣ Kes bayi dibeku di hospital di Klang
#awaniringkas
Kes bayi beku: “Jangan simpan jenazah terlalu lama jika tiada alasan munasabah” - Dr Maza
Islam tidak hanya menitikberatkan hak terhadap mereka yang masih hidup, tetapi juga memastikan hak jenazah dipelihara, kata Mufti Perlis.
Pindaan Perlembagaan PKR bakal libatkan jumlah perwakilan, kuota gender dan etnik - Fuziah
Kongres Khas PKR pada Ahad (15 Dis) antara lain akan meminda Perlembagaan parti yang menyentuh jumlah perwakilan, kuota gender dan etnik.
AWANI Pagi: PULIH | Inovasi Tempatan Mengesan Sakit Belakang
Ikuti diskusi Awani Pagi 8.30 Sabtu, bersama dua tetamu dari Universiti Malaya, berhubung inovasi mengesan sakit belakang dengan lebih objektif berbanding kaedah tradisional hingga mendapat pengiktirafan daripada Medical Device Authority Malaysia.
#AWANInews #AWANIPagi
#AWANInews #AWANIPagi
Imun pandemik, ceti haram makin berleluasa
Persatuan Pengguna Islam Malaysia menerima kira-kira 25 kes mangsa ceti haram yang meminta pertolongan saban hari sepanjang 2021.