KUALA LUMPUR:Laporan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) 2019 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 0.6 peratus kepada 121.0 mata, disokong pertumbuhan positif kesejahteraan ekonomi sebanyak 2.3 peratus.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, pertumbuhan positif kesejahteraan rakyat Malaysia disumbangkan oleh peningkatan 11 daripada 14 komponen ekonomi dan sosial pada 2019.

“Peningkatan ini didorong oleh pertumbuhan kesejahteraan ekonomi iaitu 2.3 peratus kepada 131.8 mata indeks pada 2019 berbanding 128.8 mata indeks pada 2018.

“Walau bagaimanapun, kesejahteraan sosial menurun 0.6 peratus daripada 115.6 mata indeks pada 2018 kepada 114.9 mata indeks pada 2019,” katanya. 

BACA: Indeks kesejahteraan rakyat meningkat, ini yang anda perlu tahu

Mengikut indeks berkenaan, lima komponen ekonomi iaitu pengangkutan, komunikasi, pendidikan, pendapatan dan pengagihan serta persekitaran kerja.

Sembilan komponen sosial ialah perumahan, hiburan dan rekreasi, keselamatan awam, penyertaan sosial, tadbir urus, kebudayaan, kesihatan, alam sekitar dan keluarga.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, IKRM yang mengukur perkembangan kesejahteraan rakyat juga menunjukkan kesejahteraan ekonomi ,telah meningkat dengan signifikan berbanding kesejahteraan sosial bagi tempoh 2000 hingga 2019.

Menurutnya lagi, kesejahteraan ekonomi merekodkan peningkatan sebanyak 31.8 mata dan kesejahteraan sosial meningkat 14.9 mata dalam tempoh yang sama.

Peningkatan kedua-dua indeks kesejahteraan ekonomi dan sosial, jelasnya lagi, mendorong peningkatan indeks keseluruhan IKRM sebanyak 21.0 mata kepada 121.0 pada 2019.

“Kesemua lima komponen ekonomi dan enam daripada sembilan komponen sosial bertumbuh dengan positif pada 2019. Tiga indeks tertinggi dalam kesejahteraan ekonomi adalah komponen pengangkutan (139.6 mata indeks), diikuti komponen pendidikan (133.2 mata indeks) dan komunikasi (130.9 mata indeks).

“Manakala dari segi kesejahteraan sosial pula, tiga indeks tertinggi ialah hiburan dan rekreasi (132.5 mata indeks), keselamatan awam (132.3 mata indeks) dan tadbir urus (122.7 mata indeks),” katanya lagi.

Pengiraan IKRM 2019, kata Mohd Uzir, mengambilkira 68 indikator meliputi 26 indikator ekonomi dan 42 indikator sosial, dan dengan keperluan dan situasi semasa, laporan ini telah ditambah baik dengan penambahan satu indikator baharu iaitu penyakit berjangkit dalam komponen kesihatan.

Beliau berkata, IKRM dijadikan tanda aras penting dalam penggubalan dasar dan program ke arah mencapai negara maju berpendapatan tinggi yang inklusif dan mampan.

“Malaysia akan terus memberi penekanan kepada pendekatan holistik dalam pembangunan dan meletakkan keutamaan kepada kesejahteraan rakyat dalam proses perancangan dan penyampaian perkhidmatan.

“Bagi memastikan kehidupan dan kesejahteraan rakyat terus diberikan perhatian, Jabatan Perangkaan Malaysia akan membuat kajian bagi pembangunan Malaysia Human Development Index (MHDI) dan Malaysia Happiness Index (MHI) pada tahun hadapan,” katanya lagi.