KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) tidak bercadang untuk membatalkan persembahan hiburan artis luar negara termasuk penganjuran konsert Coldplay yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini malam ini.

Menurut Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching, adalah tidak adil untuk Malaysia menghalang band berasal dari United Kingdom (UK) itu, sedangkan Indonesia, sebagai sebuah negara yang mempunyai bilangan orang Islam paling ramai di dunia pun membenarkan konsert Coldplay dianjurkan.

Tegas beliau, KKD sentiasa memberikan penjelasan kepada artis dalam dan luar negara agar meghormati kedaulatan undang-undang dan kebudayaan Malaysia, jika mahu membuat persembahan di negara ini.

"Yang Berhormat tahu tahu tak bahawa Coldplay baru pergi ke Jakarta, Indonesia pada 15 November dan anjurkan konsert mereka di sana.

"Jadi apa salah? Kalaulah sebuah negara yang mempunyai warga Muslim yang paling banyak di seluruh dunia boleh menganjurkan dan mengizinkan konsert di sana, dan Malaysia kita tak boleh izinkan Coldplay untuk datang ke sini?

"Saya percaya tidak kira sesiapa yang menjadi kerajaan juga akan menyokong pendirian sedemikian (agar artis menghormati undang-undang Malaysia). Saya percaya bahawa nak tunjuk sokongan dan solidatari kepada Palestin, ada banyak cara dan perkara," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi KKD di Dewan Rakyat.

Nie Ching menambah, mana-mana pihak tidak seharusnya 'mengacau' mereka yang mahu menghadiri konsert Coldplay.

"Untuk mereka yang sudah beli tiket nak pergi ke konsert pada malam ini, I wish them to enjoy the show.

"Tetapi untuk orang yang tak suka Coldplay, tak minat, tak dapat beli tiket, janganlah kacau...," ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, Nie Ching juga berpendirian bahawa penganjuran mana-mana konsert artis antarabangsa tidak seharusnya dibatalkan hanya kerana satu insiden yang bertentangan dengan undang-undang negara yang dilakukan oleh kumpulan The 1975, pada Julai lalu.

Begitupun, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tidak bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh Nie Ching.

Menurut Ahli Parlimen daripada blok pembangkang itu, kerajaan sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam memberikan kebenaran kepada artis luar negara untuk membuat persembahan di Malaysia.

"Tarik balik kenyataan itu.

"Kerajaan bertanggungjawab... tidak boleh bagi kebenaran siapa hendak pergi tengok, tengok... tak boleh demikian.

"Tanggungjawab kerajaan memastikan nilai moral tinggi pada rakyat dan jangan menyerah pada rakyat untuk buat pilihan tetapi kerajaan ada polisi, dan peraturan untuk memastikan nilai positif sahaja," ujarnya.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan menyekat mana-mana artis daripada luar negara yang mempunyai latar belakang yang bercanggah dengan budaya di Malaysia, termasuk mempromosikan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).