Industri media di negara ini dilihat 'tidak akan mati' sekiranya agensi tersebut mengubah cara berbelanja dalam menentukan kandungan mereka bagi mendepani era digital.

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata ini kerana masih wujud golongan masyarakat yang sanggup berbelanja untuk mendapatkan berita sahih daripada media arus perdana yang mana peluang tersebut harus dimanfaat sebaik-baiknya oleh organisasi tersebut.

"Dengan kewujudan berita-berita palsu masa kini, (sebenarnya) masih ada pembaca yang setia untuk membayar (melanggan berita daripada media arus perdana) demi mendapatkan berita sahih.

"Disebabkan itu, cara berbelanja untuk menentukan kandungan industri ini perlu diubah kerana saya melihat syarikat-syarikat media mampu terus kekal sama ada dalam bentuk media cetak ataupun atas talian," katanya semasa menjadi panelis pada forum bertajuk 'Kelangsungan Media Cetak: Mengapa Dilayar Jika Boleh Dicetak' anjuran Persatuan Alumni Komunikasi Massa Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, pada Khamis.

Turut menjadi panelis pada forum berkenaan ialah Penasihat Komunikasi dan Media kepada Perdana Menteri, Datuk Abdul Kadir Jasin; Penasihat kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Khalid Jaafar dan Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan dengan moderator, juruperunding pemasaran, Prof Abdul Hamid Mohamed.

Tambah Liew, dengan perubahan zaman masa kini khususnya revolusi masyarakat Melayu yang bukan lagi 'orang kampung', beliau menyifatkan setakat ini, tiada agensi media mampu memenuhi 'keperluan' pembacaan mengenai isu semasa golongan berkenaan.

"(Sebelum ini) Kita ingat orang Melayu adalah orang kampung tapi sebenarnya ada orang Melayu yang 'English educated' dan membaca akhbar berbahasa Inggeris. (Namun kini) Kita ada orang Melayu yang bukan orang kampung dan bukan 'English educated'.

"Saya yakin, dalam hal ini, tiada agensi media yang mampu memenuhi pembacaan golongan tersebut. Ini yang perlu kita lihat semula," katanya.

Dalam pada itu, Shahril Sufian pula berpendapat, dunia media cetak masa kini mengalami perubahan dan semua pihak harus menerima realiti bahawa tiada mana-mana agensi berkaitan mampu meraih pendapatan tanpa jualan kandungan digital.

Mengambil contoh beberapa akhbar luar negara, beliau menyatakan yang mereka juga sedang mengadaptasi perubahan ke era digital dengan mengenakan bayaran ke atas kandungan dalam talian demi menampung pendapatan apabila cetakan akhbarnya tidak mendatangkan keuntungan.

Katanya, bagi memacu perkembangan media cetak di negara ini supaya selari dengan perkembangan era digital, agensi media seharusnya dilihat sebagai 'bebas' dan mewakili suara pembaca, bukan untuk mempromosi agenda tertentu.

"Pada masa kini, kelangsungan media cetak selaku satu entiti perniagaan sukar diteruskan apabila bercakap soal pemilikan. Bila ada pemilikan, sudah tentu ada berkaitan kebebasan di pihak editorial.

"Jika kandungan editorial dilihat tidak mewakili suara rakyat sebenar dan sangat jelas mempromosi sesuatu agenda, maka sudah tentu perkara itu akan menyebabkan orang tidak lagi mahu membaca, sama ada digital mahupun cetakan.

"Disebabkan itu, kandungan anda (agensi media) perlu dilihat bebas dan mewakili suara pembaca. Selain itu, perlulah terima realiti yang walaupun kandungannya bagus, kena juga ada langganan digital," katanya.

-- BERNAMA