KUALA LUMPUR: Gaya hidup individu atau isi rumah boleh menyebabkan kos sara hidup boleh naik biarpun tidak berlaku inflasi.

Inflasi juga boleh naik tanpa memberi impak kepada kos sara hidup sekiranya pendapatan boleh guna individu atau isi rumah bertambah.

Menurut, Ketua Ekonomi MARC Ratings Berhad, Firdaos Rosli, ketika sedang berdepan inflasi, kerajaan boleh memainkan peranan yang berkesan dalam usaha untuk memastikan rakyat perlu berjimat atau tidak.

"Sama ada kita perlu berjimat atau ikat perut, ini semua bergantung kepada dua perkara iaitu pertamanya peranan kerajaan, adakah usaha tingkat produktiviti.

"Meningkatkan produktiviti ini, sama ada dari segi aspek modal di mana boleh mengeluarkan dan tingkatkan kuantiti pengeluaran.

"Selain itu, dari segi penguatkuasaan, sama ada memudahkan perdagangan dan sebagainya ataupun kedua-duanya sekali," katanya.

Manakala isi rumah pula perlu memainkan peranan mereka untuk meningkatkan kuasa tawar menawar secara kolektif.

"Peranan isi rumah pula, ialah mungkin sebaik-baiknya untuk tingkatkan kuasa tawar menawar bukan kuasa beli.

"Kuasa tawar menawar ini perlu dibuat secara kolektif terutama melalui persatuan-persatuan pengguna sebagainya.

"Kalau tidak melalui consumerisme ia perlu dari aspek pendapatan, kerana kita perlu ingat gaji tidak boleh naik tanpa inflasi.

"Jadi kalau inflasi macam ni, consumer perlu mengharapkan tindakan setimpal dari majikan-majikan," katanya lagi.

Firdaos berkata demikian dalam program Agenda AWANI yang membincangkan topik kos sara hidup dan inflasi.